suria

Aedy Ashraf terkejut dengar berita pemergian Jalil Hamid, masih ingat pesanan jujur arwah

Aedy anggap arwah Jalil senang didekati.

PEMERGIAN pelakon veteran Allahyarham Jalil Hamid memberi kesan mendalam terhadap penggiat industri seni tanah air, termasuklah aktor Aedy Ashraf yang mengakui terkejut dengan berita duka tersebut.

Mengimbau kenangan, Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan memiliki hati yang sangat baik serta dianggap seperti figura bapa di lokasi penggambaran.

"Saya sebenarnya agak terkejut dengan pemergian arwah. Saya pernah berlakon drama dengan dia sewaktu masih kecil dan kami banyak bekerjasama dalam beberapa naskhah.

Arwah sangat disenangi ramai.

"Bagi saya dia seorang yang berbakat dan berhati baik, saya sebak bila cerita perkara ini. Dia seperti seorang bapa di set dan sangat penyayang dan baik. Saya terkejut sangat-sangat," katanya kepada mStar.

Aedy berkongsi perkara itu ketika ditemui di Sidang Media filem Tarung : Unforgiven yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Mengulas lanjut mengenai keperibadian arwah, Aedy menganggap industri seni tempatan kehilangan sebutir permata yang jujur dan ikhlas dalam kerjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tarung’ buat Aedy Ashraf rasa nak menangis setiap hari, tak peduli kata-kata sinis perlekeh kemampuan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hasrat Jalil Hamid mahu tunai haji tak kesampaian, anak kongsi detik terakhir bersama arwah bapa

Jelasnya, sikap yang dimiliki arwah membuatkan dia mudah disenangi oleh sesiapa sahaja.

“Bagi saya Malaysia kehilangan permata yang sangat jujur. Saya sudah ramai berlakon dengan senior, tapi dia seorang senior yang sangat baik dan menganggap semua orang seperti anak sendiri.

“Dia tidak pernah letakkan dirinya di atas, sangat santai dan mudah didekati. Dia adalah orang yang disayangi ramai kerana kejujuran dan keikhlasan dia terhadap apa yang dia lakukan," kongsinya.

Dalam masa sama, Aedy berkata dia masih mengingati pesanan arwah yang dipegang sehingga ke hari ini.

Aedy pegang pesanan arwah Jalil.

“Dia pernah cakap dekat saya, ‘Aedy, jaga keluarga, kekal dalam industri selagi boleh’. Dia kenal keluarga saya, kenal ibu saya juga.

“Tapi satu perkara yang saya ingat sampai sekarang, dia pesan ‘berlakon kena jujur’. Itu saja, dan saya pegang kata-kata itu sampai hari ini,” kongsinya.

Jalil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar jam 12.30 tengah hari, Isnin.

Menurut anaknya, aktor berusia 69 tahun itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur. 

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain