suria

Izreen Azminda dan Intan Salleh berpelukan di mahkamah, sepakat selesaikan segala konflik secara baik

Izreen dan Intan saling berpelukan di luar mahkamah.

SELEPAS tiga tahun berlarutan, kemelut melibatkan pelakon Izreen Azminda dan juga bekas madu akhirnya diselesaikan secara baik. 

Berkongsi perkara tersebut, Izreen atau Izreen Azminda Aznam, 41, berharap hubungannya bersama Intan Salleh akan menjadi lebih baik tanpa sebarang sengketa berpanjangan. 

"Akhirnya pertikaian antara kami dapat diselesaikan secara baik. Harapan saya agar selepas ini, hubungan yang terjalin dapat lebih terpelihara demi kebahagiaan kita bersama terutamanya untuk anak-anak," kata. 

Intan (kiri) dan Izreen capai kata sepakat. 

Izreen memaklumkan perkara tersebut dalam satu hantaran di Instagram pada Selasa. 

Dalam hantaran berkenaan, dia turut memuat naik foto berpelukan bersama Intan.

Mereka berdua bertemu ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosiding kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2023. 

Dalam pada itu, Izreen memberitahu dia tidak akan menulis sebarang kenyataan yang boleh menyentuh atau berkaitan dengan mana-mana pihak di sosial media. 

ARTIKEL BERKAITAN: Mediasi tak berhasil, Izreen Azminda nampak mahkamah boleh selesai isu dengan Intan Salleh 

ARTIKEL BERKAITAN: Izreen Azminda selamat bersalin bayi lelaki, pilih nama Andika Yusuf

"Segala perkongsian atau penulisan saya selepas ini adalah bersifat peribadi dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak," ujarnya. 

Sementara itu, peguam yang mewakili Izreen iaitu Muhammad Hafiz Hood ketika dihubungi memberitahu kedua-dua pihak sebelum ini telah melakukan beberapa kali perbincangan sebelum hadir ke mahkamah. 

Malah, penyelesaian itu diselesaikan secara sepakat tanpa sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak. 

Tiada sebarang tuntutan dibuat dan kes ditarik semula

MUHAMMAD HAFIZ HOOD

PEGUAM 

"Semalam (Isnin) dapat dimuktamadkan semua pihak bersetuju untuk berdamai. Tiada sebarang tuntutan dibuat dan kes ditarik semula.

"Sebelum hadir ke mahkamah semalam ada beberapa kali sesi perbincangan dan mereka pun sama-sama mahu selesaikan secara baik," ujarnya. 

Izreen sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Intan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah. 

Kedua-dua pihak hadir bersama peguam masing-masing. 

Kemelut antara mereka juga berlarutan apabila masing-masing saling membalas kenyataan di media sosial. 

Untuk rekod, Izreen mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Radzi Abdi Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017. 

Ude sebelum itu pernah berkahwin dengan Intan 1 Mac 2013 namun bercerai pada 22 Mac 2018.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain