suria

Petugas kesihatan pakai PPE tidak wajib berwuduk, tayamum dan tidak perlu qado solat - Mufti Perlis

Petugas barisan hadapan perlu sentiasa memakai PPE bagi melindungi diri daripada jangkitan virus sehingga menyukarkan untuk bersolat.

KETIKA ini ramai petugas di hospital perlu memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) bagi mengelak mereka daripada terkena jangkitan virus ketika mengendalikan pesakit Covid-19.

Kebiasaannya petugas perlu memakai PPE dalam tempoh yang panjang dan ia tidak boleh dibuka sesuka hati kerana boleh mendedahkan diri kepada ancaman virus.

Pakaian itu juga tidak boleh diguna semula dan perlu dibuang dalam tong sampah klinik selepas ia dibuka.

ARTIKEL BERKAITAN: PPE panas, merimaskan! Bayangkan petugas kesihatan wajib pakai berbelas jam sehari...

Protokol yang ketat pemakaian PPE membuatkan ramai petugas barisan hadapan kesihatan tidak selesa terutamanya bagi yang beragama Islam kerana sukar untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat. Maka timbul persoalan bagaimana petugas yang memakai PPE boleh menunaikan solat atau terpaksa diganti?

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberitahu para ulama pernah berbincang tentang individu nyang tidak boleh berwuduk dan bertayamum disebabkan keadaan tertentu.

Ini termasuklah seperti ketiadaan air dan debu, terkena penyakit tertentu yang menghalang penggunaan air dan debu atau halangan tertentu yang menghalang penggunaan dua bahan tersebut.

Pemakaian PPE perlu mengikut prosedur yang ketat bagi menjamin keselamatan.

Kata Dr Mohd Asri atau lebih mesra dengan sapaan Dr Maza, perkara ini disebut Faqid al-Tahurain atau 'Admin al-Tahurain iaitu orang yang tidak mempunyai atau tidak mampu melakukan kedua cara bersuci.

Jelasnya, dalam Fath al-Bahri Syarh Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menghitung sehingga lima pendapat dalam masalah kewajipan solat dan qada orang yang berada dalam keadaan sebegini (rujukan: Fath al-Bari, 1/585. Beirut: Dar-al-Fikr 1414H). Juga ada yang menghitungnya sehingga enam pendapat.

Berikut adalah ringkasan daripada pendapat-pendapat fuqaha (ahli fekah) yang disebut dalam pelbagai rujukan ulama sejak dahulu sehingga kini;

1. Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayamum, dan tidak perlu qada (mengulangi solat)

Ini pendapat al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H), al-Imam al-Muzani (meninggal 264H, merupakan anak murid besar al-Imam al-Syafii dan tokoh dalam Mazhab al-Syafii), qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), Ibn al-Munzir (319H) dan lain-lain. Inilah juga pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H), Ibn ‘Uthaimin dan ramai lagi.

2. Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayamun tapi wajib qada (ulang)

Solat itu dilakukan bagi menghormati waktu. Ini pendapat kedua yang diriwayatkan dari al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dan pendapat baru al-Imam al-Syafii.

3. Tidak wajib solat tapi wajib qada

Ini pendapat al-Imam Abu Hanifah (meninggal 150H), al-Imam al-‘Auza’i (meninggal 157H) dan al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H). Antara alasan mereka ialah hadis: “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci” (Riwayat Muslim).

4. Tidak perlu solat dan tidak perlu qada

Ini dinukilkan salah satu riwayat dari pendapat al-Imam Malik bin Anas dan golongan Mazhab Zahiriyyah (literalist)

5. Digalakkan solat dan wajib qada

Ini pendapat kelima disenaraikan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari dengan dakwaan ia antara pendapat yang disenaraikan oleh al-Imam al-Nawawi.

Dr Maza menjelaskan berhubung perkara itu di Facebook miliknya.

Dr Maza memberitahu senarai pendapat di atas sekadar memaklumkan mengenai khilaf (perbezaan pendapat) ulama dalam masalah ini namun pendapat paling masyhur dalam pegangan umat Islam ialah pendapat yang pertama (1) dan kedua (2).

"Untuk meringkaskan pemahaman dan pengalaman awam, saya bersetuju dengan pendapat pertama iaitu yang mewajibkan solat dalam keadaan tersebut iaitu tanpa wuduk dan tayamum dan juga tidak wajib qada (mengulangi solat).

Jelasnya, antara hujah pendapat ini ialah hadis al-Bukhari (no. 336)  dan Muslim (no. 367) daripada ‘Aishah r.a di mana sekumpulan para sahabat yang telah bersolat tanpa wuduk, kemudian Allah menurunkan ayat tayamum.

Ertinya, mereka bersolat tanpa wuduk, dan juga tanpa tayamum kerana ayat tayamum belum turun. Namun, Nabi SAW. tidak menyuruh mereka mengulangi solat. Al-Imam al-Bukhari juga meletakkan hadis ini di bawah tajuk: Apabila Tiada Air dan Tanah.

Kata Dr Maza, pendapat yang mewajibkan solat tanpa perlu qada dilihat lebih mendekati konsep umum ayat al-Quran dan al-Sunnah yang menyatakan Allah suka untuk meringankan beban dan agama itu mudah.

Ini bermaksud, jika seharian bertugas, kemudian pada malam mesti menggantikan lima solat fardu yang telah pun ditunaikan dalam keadaan tersebut, maka ini membebankan.

Petugas yang memakai PPE yang tidak dapat untuk berwuduk dan bertanyammum, mereka boleh solat tanpa wuduk dan tayamum.

Firman Allah: (maksudnya): "Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

"Di samping itu, jika seseorang bertugas dalam pakaian PPE semasa waktu solat yang boleh dijamakkan iaitu Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isya, maka petugas boleh menjamakkan solat sekiranya terdapat bebanan atau kekangan waktu untuk menunaikan solat.

"Ini bererti, jika petugas ada ruang untuk solat pada waktu pertama (Waktu Zohor atau Maghrib) maka bolehlah dilakukan jamak taqdim (solat dalam waktu pertama).

"Jika mempunyai ruang pada waktu kedua (Asar atau Isyak) maka bolehlah dilakukan jamak ta’khir (solat pada waktu kedua). Ini dilakukan tanpa qasar. Maksudnya, empat rakaat Zohor dihimpunkan bersama empat rakaat Asar. Begitu juga tiga rakaat Maghrib dihimpun bersama empat rakaat Isyak," jelasnya.

Sementara itu, Dr Maza menjelaskan hujah yang digunakan dalam masalah ini ialah hadis yang diriwayatkan al-imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: (maksudnya) “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir.” 

Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah SAW berbuat demikian?” Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar tidak beban sesiapa kalangan umatnya”.

Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya: (maksudnya) “RasululLah SAW solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan.”


PPE tidak boleh dibuka sesuka hati kerana boleh mendatangkan bahaya. 

Hadis ini menunjuk Nabi SAW pernah menunaikan solat jamak bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) mengulas hadis di atas: “Sebahagian para imam (ulama) berpegang kepada keharusan menjamakkan solat ketika tidak bermusafir disebabkan sesuatu keperluan. Ini (diboleh) untuk sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan.

Kata Dr Maza, ini pendapat (Muhammad) Ibn Sirin dan Asyhab dari pengikut (al-Imam) Malik Al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada (al-Imam) al-Qaffal al-Syasyi al-Kabir dari kalangan pengikut (al-Imam) al-Syafi’i, daripada Abu Ishaq al-Marwazi daripada sekumpulan Ahli Hadis.

Pendapat ini juga yang dipilih oleh (al-Imam) Ibn al-Munzir. Ini disokong oleh apa yang nyata dari perkataan Ibn ‘Abbas “Kerana baginda mahu agar tidak beban sesiapa kalangan umatnya.” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/335. Beirut: Dar al-Khair 1414H).

Maka katanya, Dr. Yusuf al-Qaradawi menyokong pendapat ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245. Beirut: Dar Uli al-Nuha). Maka ini bukan perkara asing dan baru, kelonggaran ini bagi membolehkan semua pihak dalam apa keadaan pun tetap menunaikan solat.

"Para petugas yang memakai PPE yang tidak dapat untuk berwuduk dan bertayamum, mereka boleh solat tanpa wuduk dan tayamum.

Mereka tidak perlu menggantikan solat, ini menurut pendapat yang dianggap rajih. Mereka juga boleh menjamakkan solat, jika perlu melakukan hal itu," katanya.

Artikel Lain