suria

Ganjaran dari Allah menanti ‘frontliner’ Covid-19 jika 4 perkara ini dipatuhi

Kebanyakan petugas barisan hadapan di hospital terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

AMALAN bantu membantu antara satu sama lain merupakan satu perkara dituntut untuk melakukannya. Bantuan ini berbeza tuntutan atau sumbangannya mengikut individu.

Ada diantara mereka yang membantu menjaga keamanan negara, ada juga yang membantu dalam mendidik manusia dengan menjadi guru dan ada juga yang membantu dalam menyelamatkan manusia yang sakit dengan menjadi doktor atau jururawat.

Ini semua merupakan antara bantuan yang boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga amanah dijanjikan syurga bersama para nabi... Elakkan kaut keuntungan ketika wabak Covid-19

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar: Bahawasanya ada seorang laki-laki yang mendatangi Rasulullah lalu berkata: Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah dan amal apakah yang paling dicintai Allah?

Rasulullah menjawab: Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain, sedangkan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya atau engkau melunasi hutangnya atau membebaskannya daripada kelaparan. - [HR Tobari 13646].

Anggota polis bertungkus lumus memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Jika kita menyelami maksud hadis ini maka dapatlah kita ketahui bahawa pada waktu yang sangat getir dalam menghadapi Covid-19, Frontliner atau petugas barisan hadapan yang sangat penting bagi membendung Covid-19.

Mereka yang dimaksudkan dengan barisan hadapan adalah doktor, jururawat, polis, askar, penghantar makanan, pengawal keselamatan dan tukang cuci.

Ganjaran yang cukup besar atas pengorbanan yang mereka lakukan dalam menyelamatkan nyawa manusia kerana mereka inilah yang lebih terdedah kepada wabak tersebut.

Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 32: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Begitu hebatnya mereka yang telah bersusah payah dalam membantu manusia lain walaupun diri mereka sendiri dibelungi keletihan dan kepenatan yang teramat.

Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berkampung di hospital tiga minggu berturut-turut dan terpaksa mengenepikan perasaan rindu untuk bertemu dengan keluarga di rumah.

Jadi kepada semua petugas di barisan hadapan, janganlah kalian mengeluh dan yakinlah walaupun ujian ini amat berat, ganjaran yang sangat besar menanti kalian.

Sehingga Ahad, seramai 34 orang meninggal dunia akibat Covid-19.

Tidak mengapa walaupun orang di luar sana tidak menghargai apa yang telah kita lakukan, malah ketahuilah kita tidak akan mampu membuat semua orang berpuas hati dengan apa yang kita lakukan walaupun ianya adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

Oleh itu di sini saya titipkan beberapa pesanan yang tulus ikhlas kepada petugas barisan hadapan supaya mereka sentiasa cekal dalam mengharungi tugas yang getir ini.

Antara pesanannya ialah:

1. Ikhlaskan niat kerana Allah - Setiap perkara yang kita lakukan mestilah berpaksikan kepada Allah.

Ini kerana tidak ada sebaik-baik balasan dan ganjaran melainkan daripada Allah. Ganjaran pahala atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.

Kepentingan menjaga amalan hati lebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.

2. Usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh - Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana bekerja merupakan salah satu wasilah untuk mendapat keredhaan Allah.

Tukang cuci juga memainkan peranan penting dalam memastikan hospital dan tempat awam terjaga.

Itqan (tekun) dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

Sabda Rasulullah: Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik- [HR Baihaqi 4931].

3. Sentiasa mengingati ganjaran dari Allah - Dengan mengingati dan mengetahui ganjaran yang Allah akan berikan kepada kita atas setiap usaha yang kita lakukan akan menjadikan kita sentiasa dan lebih bersemangat dalam semua pekerjaan. Sekecil mana pun sumbangan kita tetap sahaja akan dibalas oleh Allah dengan sebaik-baik balasan.

Firman Allah didalam Surah Al-Zalzalah ayat 7: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatNya (dalam buku amalannya).

4. Sabar dalam setiap urusan - Setiap kejayaan memerlukan kepada kesabaran yang tinggi. Setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Oleh kerana itu,nilai kesabaran perlulah menjadi antara elemen teratas yang perlu ada pada petugas barisan hadapan supaya setiap gerak kerja yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik.

Sabda Rasulullah: Ketahuilah sesungguhnya sabar keatas perkara yang tidak kamu sukai itu akan membawa banyak kebaikan, sesungguhnya kemenangan itu bersama dengan kesabaran [HR Baihaqi 1043].

Petugas-petugas hospital juga perlu menjalankan tanggungjawab mengebumikan jenazah mangsa Covid-19.

Doa senjata bagi orang mukmin

Kehidupan kita penuh dengan ujian dan dugaan sama ada positif atau negatif, kitalah yang akan menentukan. Kita diuji dengan kesedihan, kegagalan, kegembiraan dan kejayaan. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan berdoa untuk segala urusan di dunia.

Buat para doktor dan jururawat khususnya, kalian telah berusaha untuk merawat bagi menyelamatkan banyak nyawa masyarakat. Andai saja ditakdirkan Allah sebaliknya, ketahuilah kalian telah berusaha dan ada pahala di sisinya.

Oleh itu, berdoalah kepada Allah setiap masa agar diberikan kekuatan dalam menempuhi dugaan kehidupan dengan tabah dan sabar.

Sebagai umat Islam, hanya kepada Allah kita memohon pertolongan. Kita manusia tidak memiliki daya dan upaya selain mengharap pertolongan-Nya begitu juga ketidakupayaan kita untuk menolak sesuatu musibah.

Ingatlah semua petugas barisan hadapan akan sabda Rasulullah: Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. [HR Muslim 4867]

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan personaliti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook. 

Ganjanran, Fronliners, Covid-19

Artikel Lain