KETIKA khutbah Jumaat disampaikan, ada segelintir jemaah yang dilihat tidur sambil bersandar pada dinding.
Malah, ada juga yang leka bermain telefon, melayari media sosial dan berbalas WhatsApp sementara menanti waktu solat Jumaat.
Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang hukum perbuatan sedemikian, terutamanya jika ia boleh menjejaskan pahala seorang jemaah.
Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan
Menurut mazhab Syafi’i, setiap jemaah disunatkan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib.
Di samping suruhan untuk mendengar khutbah, orang ramai juga dilarang untuk bercakap dan berzikir.
Namun, harus difahami larangan untuk berzikir hanyalah khusus untuk orang yang dapat mendengar khutbah.
Jika seseorang itu tidak dapat mendengar khutbah atas sebab jauh dan sebagainya, maka sunat untuk dia berzikir dengan perlahan dan tidak bercakap-cakap.

Jemaah perlu menjaga adab ketika berada di dalam masjid. -Gambar hiasan AI
Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:
“Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diam!” ketika imam sedang berkhutbah (pada hari Jumaat), maka sesungguhnya kamu telah lagha.” [Riwayat al-Bukhari]
Manakala dalam hadis yang lain Nabi SAW melarang untuk bermain-main dengan batu kecil ketika khutbah.
Nabi SAW bersabda:
Sesiapa yang berwuduk dan dia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha. [Riwayat Muslim]
Imam al-Nawawi ketika menerangkannya berkata bahawa hadis ini menunjukkan larangan untuk bermain dengan batu atau lainnya ketika sedang khutbah.
Setiap orang hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Dimaksudkan dengan lagha di sini ialah sesuatu perbuatan yang tercela dan tertolak.
Dapat difahami daripada keterangan di atas bahawa Nabi SAW melarang melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu tumpuan untuk mendengar khutbah.
Antara bentuk ganguan tersebut ialah dengan membalas whatsapp atau lainnya ketika sedang mendengar khutbah.
Kesimpulan
Hukum mendengar khutbah adalah sunat namun jika seseorang berbual atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menganggu tumpuan mendengar khutbah maka hukumnya adalah makruh dan menghilangkan pahala Jumaat.
Antara yang termasuk dalam perkara menghilangkan tumpuan mendengar khutbah ialah bermain telefon seperti WhatsApp atau lainnya sekali pun untuk tujuan menghilangkan rasa mengantuk.


