suria

Boleh ke baca al-Quran dalam telefon tanpa wuduk? Ini penjelasannya supaya anda tak keliru

Ramai individu membaca al-Quran melalui aplikasi dalam telefon mereka. -Gambar hiasan AI

KITA disunatkan untuk berwuduk sebelum menyentuh atau membaca kitab suci al-Quran.

Namun, bagaimana pula hukumnya jika kita membaca al-Quran melalui aplikasi di telefon bimbit sahaja?

Penjelasan

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Nawawi menyatakan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh mushaf dan membawanya sama ada secara tidak langsung atau secara langsung.

Menurut Imam al-Nawawi lagi, sekiranya ditulis al-Quran pada kayu, maka hukumnya adalah seperti hukum mushaf sama ada tulisan itu sedikit atau banyak, sehingga sekiranya sebahagian ayat ditulis untuk belajar, maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis tersebut.

Apakan yang dimaksudkan dengan mushaf

Bagi menentukan apakah menyentuh al-Quran yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit diwajibkan untuk berwuduk atau tidak, maka sebaiknya diperhalusi adakah ia juga dikategorikan sebagai mushaf atau tidak.

Oleh itu, dalam memahami maksud mushaf, Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menyebut:

A man reads Al- Quran by using mobile apps , during the month of Ramadan in the Jamek Mosque in Kuala Lumpur.AZHAR MAHFOF/The Star

Kemudahan teknologi membolehkan umat Islam membaca al-Quran walau di mana jua mereka berada. -Gambar hiasan

Dan dimaksudkan dengan mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding. [Nihayah al-Zain]

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT di antara dua kulit.

Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. 

Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya, iaitu apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah di permukaan bumi.

Sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air, maka ia bukanlah tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi.

Justeru, dapat difahami bahawa al-Quran yang dibuka di dalam telefon pintar tidak termasuk di dalam kategori mushaf seperti mana yang ditakrifkan oleh ulama.

Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa harus membaca al-Quran melalui telefon bimbit tanpa berwuduk, ini kerana aplikasi al-Quran tidak boleh dihukum sebagai mushaf al-Quran kerana ianya hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang, bahkan tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf al-Quran yang hakiki.

Namun, sebaiknya disunatkan untuk berwuduk ketika membaca al-Quran serta menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran seperti yang digariskan oleh para ulama iaitu menutup aurat, menghadap kiblat dan membersihkan mulut.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia