suria

Pernah ikat perut, pandu e-hailing demi survival... Kini nama mula meledak dalam bisnes fesyen baju Melayu

Hanzat (tengah) membawa jenama Keris & Co. lebih dekat dengan masyarakat menerusi pendekatan kreatif seperti penganjuran flashmob silat dan zapin.

BERMULA dari sebuah flat sederhana di Kuala Lumpur ke dunia fesyen tempatan yang semakin berkembang, kisah anak muda ini membuktikan bahawa semangat dan kreativiti mampu mengubah kehidupan.

Pemilik Keris & Co., Hanzat Azmi, 31, mengakui dia dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga besar yang serba sederhana.

Anak keenam daripada sembilan beradik ini pernah bergelut mencari sumber pendapatan, termasuk bekerja sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing ketika perniagaannya gagal.

Namun pengalaman jatuh bangun itulah yang membentuk semangat kental sehingga akhirnya bergelar usahawan.

Selama lebih enam tahun, Hanzat banyak terlibat di sebalik tabir membantu membangunkan pelbagai jenama tempatan sebelum akhirnya nekad melancarkan jenamanya sendiri, Keris & Co. pada 2024.

Hanzat tekad membina jenama Keris & Co. selepas lebih enam tahun berkecimpung dalam bidang fesyen. 

"Minat saya memang ke arah fesyen dan dalam masa sama saya sendiri sering menghadapi masalah mencari baju Melayu yang selesa. Kebanyakan fabrik panas, jika fabrik selesa potongan pula tidak kena dengan cita rasa," katanya.

Lantas tercetus idea untuk menghasilkan baju Melayu sendiri yang bukan sahaja selesa, tetapi praktikal untuk dipakai setiap hari dan bukan sekadar pada musim perayaan.

Sejak dilancarkan pada 2024, jenama yang beribu pejabat di Setapak itu menjual 120,000 pasang setakat tahun ini.

Lebih membanggakan, hampir 70 peratus pelanggan kembali membuat pembelian selepas mencuba pakaian keluaran jenama tersebut.

Hanzat menambah, kejayaannya pada hari ini tidak datang bergolek.

"Sepanjang lapan tahun berniaga, saya pernah jatuh berkali-kali. Pernah sampai satu tahap saya tiada duit dan terpaksa bawa e-hailing untuk teruskan hidup sebab bisnes tak menjadi.

"Saya pernah berniaga pelbagai produk sebelum ini, tetapi disebabkan masih muda dan tiada pengalaman, ada perkara yang terlepas pandang seperti aliran kewangan serta dokumentasi," katanya yang menegaskan kesilapan dan kegagalan adalah guru terbaiknya.

Hanzat membawa jenamanya lebih dekat dengan masyarakat melalui pendekatan kreatif seperti penganjuran flashmob silat dan zapin.

Tambah Hanzat, dia juga akhirnya memilih untuk keluar daripada zon selesa apabila mencabar diri menjadi live host untuk jenama sendiri. 

"Ketika memulakan jenama ini, semua saya harus lakukan sendiri daripada segi idea, produksi pakaian sehinggalah jualan.

"Waktu itu memang tiada orang lain, pekerja pun tidak ramai. Jadi, suka atau tidak saya paksa diri untuk buat live untuk jualan. Setiap hari saya akan live selama enam sehingga sembilan jam. Sekarang, saya sudah boleh duduk depan kamera tanpa ada rasa malu," katanya.

Hanzat kini boleh berbangga apabila Keris & Co. sudah menembusi pasaran Singapura dan Brunei, dan kini merancang untuk membuka outlet fizikal serta memperkenalkan koleksi pakaian wanita bagi meluaskan lagi pengaruh jenama tersebut.

Sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, Keris & Co. memberi tawaran istimewa apabila menawarkan harga mampu milik serendah RM39 sehingga RM129 untuk koleksi kurta dan baju Melayu yang dihasilkan daripada fabrik Japanese Cotton yang premium.

Artikel Lain