SEMASA menunaikan solat, tubuh kadang-kadang memberikan 'signal' semula jadi seperti rasa hendak kentut yang boleh mengganggu tumpuan ibadah.
Lebih membimbangkan, seseorang mungkin menjadi was-was untuk meneruskan solat kerana tidak pasti sama ada kentut itu benar-benar akan berlaku atau sekadar khayalan semata-mata.
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat sepotong hadis yang membicarakan masalah ini.
Hadis riwayat Abbad bin Tamim menyebut, seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (iaitu hadas seperti kentut) di dalam solatnya.
Maka jawab baginda:
Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (dari solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau. [Hadis riwayat Imam Bukhari]
Kesimpulan
Justeru, jika tiada bau dan bunyi, lebih kepada was-was semata-mata, boleh dianggap bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata.
Kadang-kadang ia berpunca daripada angin yang terperangkap di celah punggung tetapi bahagian luar. Itu bukan kentut.
Kadang-kadang juga dirasai gas di bahagian hujung dalam dubur itu naik ke usus, membuatkan ada rasa sensasi di bahagian hujung. Itu juga bukan kentut.
Maka yang penting dalam isu ini ialah keyakinan bahawa memang ada hadas yang keluar, lalu membatalkan wuduk dan solat.
Jika tiada maka kekallah hukum asal bahawa seseorang itu masih dalam keadaan suci.


