PENGURUS kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak berkongsi kisah di sebalik kelainan dan elemen luar biasa yang dibawakan oleh penyanyi itu menerusi Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love yang berlangsung pada Sabtu.Kata Rozi, selepas tiga dekad berada di puncak industri seni, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 47, tidak memilih jalan mudah, sebaliknya terus mencabar diri untuk berkembang dan keluar daripada zon selesa. "Setelah 30 tahun, beliau tidak memilih jalan mudah. Beliau memilih untuk terus belajar, terus berinovasi dan terus 'melompat' keluar daripada zon selesa. Siti sentiasa mahu mencabar diri dalam setiap persembahan yang dilakukannya."Elemen spektakular ini adalah bukti cintanya bahawa tradisi tidak semestinya kaku dan legasi harus sentiasa dijulang dengan penuh keberanian."Kecemerlangan ini bukan sekadar tentang gimik tetapi tentang jiwa yang tidak pernah berhenti mahu memberi yang terbaik," katanya. Rozie berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Lautan biru dan sorakan setia peminat dari seluruh rantau Asia, Siti Nurhaliza berdiri megah dengan tenaga luar biasaARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa dia buat begitu, apa salah saya pada dia?” - Siti NurhalizaDalam hantaran sama, Rozi mendedahkan bahawa idea untuk menampilkan teknologi ‘toaster’ dalam segmen tradisional konsert itu merupakan permintaan Siti kira-kira dua bulan sebelum konsert berlangsung."Dua bulan lalu (November) itulah permintaan Siti untuk muncul dalam segmen tradisional diawali dengan menggunakan teknologi 'toaster'."Namun, di sebalik kemegahan teknologi itu, ada sebuah keberanian yang jarang kita bicarakan."Bukan sekadar berani berdiri di atas platform yang meluncur tinggi tetapi berani untuk terus mencabar limitasi diri demi peminat-peminat beliau," ujarnya. Mengulas lanjut, Rozi turut menyifatkan keberanian Siti sebagai satu bentuk kekuatan yang halus tetapi mendalam, jauh daripada sifat agresif atau dramatik yang sering disalahertikan sebagai lambang keberanian.Persembahan Siti memukai mata 65,000 penonton di SNBJ."Keberanian tidak hanya bersifat pejuang, muncul garang dan membentak, melengking riuh menyebar dalam hentak, ada keberanian yang unggul dengan cara diam tanpa bergerak, tunduk tanpa lagak dan melangkah dalam kebaikan yang tidak nampak," katanya. Sebelum ini, Siti mencipta kejutan di hadapan lebih 65,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila aksi lompatnya menerusi pembukaan persembahan bagi segmen tradisional. Aksi tersebut meraih pujian ramai apabila peminat kagum dengan stamina penyanyi berusia 47 tahun itu yang masih mampu melakukan persembahan sedemikian.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube