suria

Ulang konsep sama bukan tuju pada Siti Nurhaliza, Iman Tang kritik penganjur lain… “Bukankah apa yang dipersembahkan itu sudah hebat?”

Luahan Iman (kiri) di media sosial tiada kaitan dengan konsert Siti yang berlangsung pada malam Sabtu.

PENGANJUR konsert Icon Entertainment, Iman Tang menafikan kenyataannya mengenai ketidakpuasan hati terhadap konsep sebuah acara ditujukan kepada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love yang berlangsung Sabtu lalu.

Iman ketika dihubungi berkata, dia pelik apabila seorang peminat secara tiba-tiba dan tanpa usul periksa menuduhnya mengkritik konsert Biduanita Negara itu sedangkan dia langsung tidak menyebut nama mana-mana acara. 

“Kenapa saya nak tujukan kepada Siti sedangkan malam itu konsert yang dibawakan penuh pengisian dan konsep. Malah konsert itu juga berlangsung penuh bersejarah.

Seramai 72,000 penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Seramai 72,000 penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

“Hampir 65,000 penonton yang hadir mengikut tema konsert, ditambah dengan elemen kejutan seperti Siti naik kren dan melompat keluar daripada pentas. 

“Kemudian konsep utama yang saya nampak pada malam itu juga adalah Siti berjaya menyatukan muzik moden dan tradisional dalam konsert yang dipersembahkannya. Bukankah apa yang dipersembahkan itu sudah hebat?

“Saya sangat menghormati beliau dan tiada langsung nak tuju pada konsert dibawakan, kecuali jika peminatnya akui konsert dibawakan tiada konsep. Tapi hakikatnya tiada pun kerana semua teruja dengan konsert tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa dia buat begitu, apa salah saya pada dia?” - Siti Nurhaliza

ARTIKEL BERKAITAN: Lautan biru dan sorakan setia peminat dari seluruh rantau Asia, Siti Nurhaliza berdiri megah dengan tenaga luar biasa

Tambahnya, dia menyifatkan konsert dibawakan Siti cukup dahsyat kerana berjaya membawa industri seni ke tahap yang lebih tinggi.

“Konsert Siti akan menjadi satu benchmark baru untuk penyanyi dan penganjur lain melakukan konsert yang lebih hebat. Sama juga dengan visi saya dalam Icon Entertainment,” katanya.

Menurut Iman, luahan peribadi yang dibuat sebenarnya ditujukan kepada sebuah konsert lain yang menerima kritikan teruk pada hari tersebut.

“Cuba nilai semula konsert mana yang paling banyak menerima kritikan. Pada hari tersebut berapa banyak konsert yang berlangsung. Saya tidak menyebut nama mana-mana acara dalam hantaran yang dimuat naik.

“Cuma bila dituduh sebegini saya perlu perbetulkan salah faham ini,” katanya.

Siti menghiburkan peminat dengan lebih 40 buah rangkaian lagu di Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love.

Siti menghiburkan peminat dengan lebih 40 buah rangkaian lagu di Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love.

Terdahulu Siti tampil menjawab pertanyaan seorang peminat yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan seorang individu lain dipercayai Iman Tang selepas didakwa mengkritik Konsert Legacy 30. 

Meskipun tidak menyebut nama acara, Iman bagaimanapun dituduh mengkritik konsert Siti hingga menerima kecaman kerana luahan peribadi yang dimuat naik di InstaStory miliknya.

“Nothing new still the same and repeat concept boring,” tulis Iman yang menimbulkan perdebatan di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain