suria

Selepas diserang strok, M Jamil dakwa isteri berubah… Terkilan sanggup tuntut cerai

M Jamil kini berdepan masalah kesihatan.

PELAKON dan pengarah M Jamil meluahkan rasa terkilan apabila rumah tangga yang dibina berdepan ujian besar susulan masalah kesihatan yang dialaminya.

M Jamil atau Mohamad Jamil Zulkifli, 62, berkata sejak diserang strok lapan tahun lalu, sikap isterinya didakwa mula berubah sehingga membawa kepada permohonan cerai di mahkamah.

"Bila benda (strok) ini berlaku pada saya, isteri mula buat perangai. Dia kata saya marahkan dia, tapi takkanlah dalam perkahwinan tak boleh marah?

M Jamil terkilan isterinya berubah sikap.

M Jamil terkilan isterinya berubah sikap.

"Jadi, pada 14 April ini, kes akan bersambung untuk cari jalan perdamaian dan jika gagal, maka akan pergi ke peringkat hakam. Apa-apun, saya kasihankan dua anak saya yang tidak pernah berpisah," katanya kepada Harian Metro. 

Dalam pada itu, M Jamil yang juga anak kepada dramatis Datuk Sarimah Ahmad  memberitahu dia amat terkesan dengan tindakan isterinya yang memfailkan perceraian ketika dirinya masih dalam keadaan kurang sihat dan memerlukan sokongan.

"Saya amat terkilan apabila isteri buat begini. Selama ini hanya dia yang tahu macam mana cara penjagaan dan ubat untuk saya makan. Sekarang memang agak susah untuk saya buat sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak dedah M Jamil kahwin empat kali... Sadiq akrab dengan ibu tiri dan keluarga baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Populariti nenek dan bapa tak buka jalan mudah jadi artis, Sadiq Jamil ingat pesanan Sarimah Ahmad

"Pada masa sama, saya sebenarnya tidaklah nak salahkan sesiapa sebab benda (permohonan cerai) ini boleh bawa bincang elok-elok dan kena tahu apa sebab musababnya," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes perceraiannya, M Jamil memaklumkan dia telah hadir ke sesi perbincangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 11 Februari lalu.

Bagaimanapun, pengarah berkenaan mendakwa tiada sebarang komunikasi berlaku antara mereka sepanjang prosiding tersebut.

"Saya diminta hadir untuk perbincangan pada 11 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Semasa di sana, isteri bersama peguamnya.

"Dia diam tanpa bercakap apa-apa dengan saya. Maknanya, 100 peratus dia berubah. Hanya bercakap dengan peguam sahaja.

M Jamil merupakan anak kepada Seniwati Sarimah (kanan).

M Jamil merupakan anak kepada Seniwati Sarimah (kanan).

"Dia beri beberapa alasan berkenaan tuntutan cerai itu, tetapi, saya anggap tidak masuk akal dan saya tak jawab," katanya. 

Untuk info, M Jamil berkahwin sebanyak empat kali namun menceraikan isteri pertama dan kedua, manakala isteri ketiga meninggal dunia pada tahun 2010.

M Jamil kemudiannya bernikah kali keempat pada 24 Mei 2014 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain