suria

Shikin Maembong kini pelukis sepenuh masa, simpan impian buka galeri seni sendiri

Lukisan Shikin terima banyak tempahan.

ISTERI kepada penyanyi dan komposer, Cat Farish iaitu Shikin Maembong kini memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang seni lukis selepas membuat keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam perniagaan makanan.

Menurut Shikin, 42, keputusan tersebut mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang bukan sahaja memahami minatnya itu, malah turut membantu memasarkan hasil lukisan kepada orang ramai.

“Sekarang saya fokus sepenuh masa dengan melukis. Memang ada rasa sayang nak tinggalkan perniagaan, tetapi mungkin satu hari nanti saya akan buka galeri seni sendiri dengan kafe kecil,” katanya kepada mStar.

Cat sentiasa sokong minat Shikin.

Bukan itu sahaja, keputusan itu diambil kerana bidang seni lukis memerlukan fokus yang tinggi, malah sekiranya ada gangguan ia boleh menyebabkan sesebuah karya terbengkalai serta terjejas.

Namun begitu, tempoh menyiapkan lukisan bergantung kepada jenis karya serta tahap fokus ketika itu.

“Kalau kerap terganggu, lukisan boleh terbengkalai lama. Sekarang saya melukis setiap hari dan dengan adanya media sosial, tempahan semakin banyak. Sebab itu saya pilih untuk fokus sepenuhnya pada seni lukis.

ARTIKEL BERKAITAN: Penuhi impian isteri, Cat Farish hadiahkan lot kedai... Tak lagi berniaga di tepi jalan

ARTIKEL BERKAITAN: Barang niaga dipulangkan dalam keadaan teruk, niat Shikin Maembong bantu kawan cari duit dibalas pengkhianatan

“Kalau betul-betul fokus, dalam tempoh tiga hari saya boleh siapkan dua lukisan. Cuma kalau tema kebudayaan, biasanya mengambil masa sekitar seminggu kerana perlukan banyak perincian,” ujarnya.

Menurut Shikin, dia kini menerima banyak tempahan secara dalam talian terutamanya menerusi platform TikTok dan tidak lagi bergantung kepada pameran kesenian untuk menjual hasil karya.

Berkongsi mengenai harga karya, Shikin berkata dia bermula dengan harga mampu milik kerana masih membina nama dalam industri seni lukis.

Setakat ini harga lukisannya hanyalah sekitar RM3,000, manakala tempahan melalui media sosial lebih fleksibel bergantung kepada bajet pelanggan.

Shikin terima banyak tempahan dari atas talian.

“Ayah pernah pesan, kena bina nama dulu. Pada peringkat awal, saya jual lukisan sekitar RM200 hingga RM500. Bila nama dah dikenali, barulah harga boleh dinaikkan.

“Potret biasanya lebih mahal. Harga ikut bajet pelanggan. Lukisan paling mahal pernah terjual setakat ini sekitar RM6,000,” katanya lagi.

Tambah Shikin, meskipun ada pelanggan yang meminta konsep berdasarkan rujukan tertentu, hasil akhir tetap mempunyai identitinya yang tersendiri.

“Setiap artis ada gaya masing-masing. Walaupun ada rujukan, hasilnya tetap berbeza. Setakat ini tiada isu peniruan,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia