suria

Makcik positif Covid-19 tertanya-tanya kenapa KKM tak datang ambil, mujur duduk diam-diam di rumah! - “Dalam senarai beribu-ribu sehari, memang tak terkejar”

Seorang makcik mendedahkan dirinya positif Covid-19 selepas menjalani ujian RTK. gambar hiasan

SAMA ada bergejala mahupun dikenal pasti sebagai kontak rapat, masyarakat kini mula menyedari mengenai kepentingan untuk melakukan ujian saringan.

Terdapat dua teknik untuk ujian saringan iaitu Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen atau lebih dikenali sebagai RTK) atau kit ujian pantas antigen dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Walaupun RTK memberikan keputusan ujian yang lebih pantas, namun teknik tersebut tidak disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diagnosa Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya keputusan negatif... Selepas hilang deria rasa, baru sah ibu dijangkiti Covid-19 - "Mak langsung tak bau minyak atar yang kuat tu"

ARTIKEL BERKAITAN: Frontliners buat swab test untuk pekerja kilang tersentuh hati ketika nak solat Zohor, pondok kecil pak guard buat mereka sedar sesuatu!

Keputusan ujian yang lebih tepat melalui teknik rRT-PCR atau lebih dikenali sebagai PCR, yang digunakan oleh ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan Covid-19.



Orang ramai melakukan ujian saringan Covid-19. gambar hiasan / Foto AZHAR MAHFOF/The Star

Seorang doktor berkongsi pengalaman beliau didatangi seorang wanita berusia secara bersendirian sebelum memberitahu sesuatu yang mengejutkan.

"Puan, kenapa puan datang hari ni? Wanita tu dah berumur, datang seorang. Saya hari tu demam. Selepas tu pergi hospital *tut* buat (ujian) swab, mereka kata positif.

"Jadi makcik kuarantin kat rumah. Tunggu juga orang KKM datang ambil, tapi tak ada pun. Orang hospital tu kata, orang KKM nak ambil," tulis Dr Sakinah Sulong di laman Facebook milik beliau yang mengimbas kembali perbualannya bersama wanita itu.

Walaupun tidak didedahkan butiran lokasi ujian itu yang dilakukan oleh pesakit itu, namun ia dipercayai dibuat di klinik atau hospital swasta.



Dr Sakinah Sulong memakai peralatan perlindungan diri (PPE). foto facebook Sakinah Sulong

Dr Sakinah yang merupakan pakar perubatan keluarga bertanya lebih lanjut, dan wanita berusia itu memberi gambaran dia menjalani ujian RTK berdasarkan kosnya yang lebih murah berbanding PCR.

"Saya buat 1 hari bulan (hb) hari tu, 2hb hospital telefon. Makcik duduk diam-diam je lah kat rumah. Makcik ada pakai gelang tak? Saya tanya sambil intai di lengannya... tiada gelang," tanya beliau yang merujuk kepada gelang sebagai tanda seseorang itu menjalani kuarantin.

Kalau tak buat PCR, tiada nama dalam sistem Simka dan ujian dibuat di hospital swasta, memang KKM tak akan tahu. Sebab itulah tiada staf KKM yang menghubungi pesakit ini

DR SAKINAH SULONG

Dr Sakinah kemudian meminta staf beliau memeriksa nama pesakit tersebut menerusi Sistem Informasi Maklumat Kesihatan Awam (Simka), di mana sebarang keputusan PCR pesakit akan didaftarkan, sama ada dari hospital kerajaan atau swasta.

"Tiada namanya tersenarai. Sah, dia buat RTK. Tapi RTK bukan ujian pengesahan. Sepatutnya kena buat ujian PCR kalau RTK positif, baru seseorang disahkan sebagai pesakit Covid-19.

"Kalau tak buat PCR, tiada nama dalam sistem Simka dan ujian dibuat di hospital swasta, memang KKM tak akan tahu. Sebab itulah tiada staf KKM yang menghubungi pesakit ini.

"Yang ada dalam senarai pun, beribu-ribu satu hari, memang tak terkejar semuanya. Apatah lagi kalau tiada nama dalam sistem Simka tu," ujar beliau.



Perkongsian Dr Sakinah di Facebook.

Walaupun pesakit itu kurang kesedaran mengenai ujian Covid-19 yang dilakukannya, namun Dr Sakinah menyentuh mengenai kepatuhan wanita tersebut menjalani kuarantin.

"Nasib baiklah makcik duduk je diam-diam dalam rumah walaupun dia tak pakai gelang. Dan memandangkan tempoh 10 hari dah berlalu, makcik ini dah dianggap telah melepasi tempoh kuarantin 10 hari.

"Memang kes ini bukan kes terpencil. Memang ia boleh berlaku kerana lambakan kes daripada hospital kerajaan mahupun klinik atau hospital swasta. Tanggungjawab pihak yang melakukan swab untuk mengesan keputusan dan memaklumkan kepada pesakit serta notifikasi kalau perlu... dan mengemaskini maklumat dalam sistem Simka agar tiada kes yang tercicir," katanya.



Nasihat Dr Sakinah supaya individu perlu bertanggungjawab menjalani kuarantin di rumah.

Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang menjalani kuarantin di rumah agar bersikap bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Yang pakai gelang, duduklah diam-diam di rumah. Pihak polis yang buat sekatan jalanraya, mungkin boleh minta pemandu selak sikit lengan baju agar mereka tidak terlepas.

"Tolong jadi manusia yang bertanggungjawab kalau anda dah pakai gelang. Tak patuh arahan kuarantin, anda boleh dikompaun RM1,000. Jaga diri, semoga dengan itu, orang kesayangan anda pun terjaga," ujar Dr Sakinah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain