suria

Kecoh di Parlimen tapi Bung Moktar orangnya lembut di rumah... nak dengar marah pun tak pernah - Dedah Shaheizy Sam

Sam kongsi peribadi Allahyarham yang jarang diketahui ramai.

PELAKON Shaheizy Sam menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai abang ipar yang cukup sempurna dan penyayang, terutama ketika bersama keluarga di rumah.

Menurut Sam, 42, personaliti Allahyarham sebagai wakil rakyat di Parlimen adalah amat berbeza, tidak mencerminkan dirinya sebenar kerana di rumah beliau seorang yang sangat (lemah) lembut dan berhati-hati dalam tutur kata.

“Apa yang kita nampak dia di parlimen itu bukan dia, macam mana agresif kita nampak dia di parlimen, kalau di rumah dia seorang yang sangat berbeza.

Sam miliki hubungan akrab dengan abang iparnya.

“Sangat berbeza, nak dengar dia tinggi suara, nak dengar dia marah di rumah tak pernah. Saya rasa berbelas tahun ini, apa yang kita nampak dia di parlimen memang lain, berbeza di rumah, dia lembut dengan anak-anak dia baguslah orangnya. 

"Bagi saya dia abang ipar yang sempurna," katanya kepada pemberita di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Sabah.

Tambah Sam, Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang sangat penyabar ketika melayan rakyat, meskipun pulang lewat selepas turun melawat kawasan.

Malah arwah sering meluangkan masa bersama serta mendengar aduan rakyat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Zizie Ezette tiba dengan tangisan, tatap suami buat kali terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat luah isi hati sebelum suami meninggal dunia, Zizie Ezette dedah kebaikan arwah Bung Moktar… Keluarga bergegas ke Kota Kinabalu

"Bila dia di rumah, dia dengan keluarga sangat lembut. Bila saya ikut dia setiap kali balik kawasan, akan ada orang-orang di kawasan memang nak datang berjumpa dengannya.

"Dia tak pernah cakap tak boleh, kalau sampai jam 4 pagi pun dia berjumpa dengan orang-orang kawasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia memaklumkan kesihatan Allahyarham mula merosot sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

"Jadi masa hari terakhir berkempen, sebelum mengundi memang nampak dia tak macam dulu, tenaga dia nampak penat.

Sam ketika ditemui media semasa pengebumian Allahyarham.

“Yang mengejutkan fasal semalam bila dengar memang betul-betul teruk,” kongsinya.

Sebelum ini, pemergian Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah disahkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Allahyarham, 66, sebelum itu menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.

Allahyarham berkawin dengan pelakon Datin Seri Zizie Ezette yang juga kakak kepada Sam.

Bung Moktar juga mempunyai seorang lagi isteri iaiti Datin Seri Nor Asidah dan mereka memiliki dua orang cahaya mata bersama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain