suria

Ramai suka bermalasan ketika cuaca sejuk... Ketahui kesan buruk pada tubuh selain jadikan anda gemuk

Sakit bahagian sendi boleh berlaku kepada semua individu termasuklah golongan muda. -Gambar hiasan AI

MUSIM hujan di Malaysia kini membuatkan cuaca dan suhu bertukar sejuk daripada kebiasaan. 

Menerusi perkongsian dibuat oleh Public Health Malaysia (PHM), ramai sebenarnya tidak sedar bahawa perubahan suhu boleh memberi kesan langsung terhadap kesihatan sendi, walaupun dalam kalangan orang muda.

PHM menjelaskan bahawa ketika berada di negara bersuhu rendah atau terdedah kepada penyaman udara, ada individu yang tiba-tiba berasa lutut ketat, kebas jari atau pinggang berdenyut. 

Situasi ini sering disalah anggap sebagai biasa, dengan fikiran menyatakan ia mungkin berpunca daripada angin yang sejuk, tetapi faktor sebenarnya lebih kompleks.

Menurut PHM, apabila cuaca menurun, salur darah akan mengecut bagi mengekalkan haba pada organ penting. 

Akibatnya, aliran darah ke hujung tangan, kaki dan sendi menjadi perlahan yang membawa kepada beberapa perubahan fisiologi:

1. Tisu sekeliling sendi menjadi tegang.

2. Cecair sendi menjadi lebih pekat, menjadikan pergerakan kurang lancar.

3. Rasa ketat, kurang fleksibel dan sakit menjadi lebih ketara, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai masalah seperti osteoarthritis, gout atau pernah mengalami kecederaan.

Rasa sakit pada bahagian sendi boleh terjadi akibat salur darah mengecut. -Gambar hiasan AI

Musim sejuk biasanya menggalakkan gaya hidup pasif apabila individu lebih banyak duduk, baring, menonton siri panjang sesebuah rancangan di televisyen dan makan tanpa kawalan.

Perkara ini menyebabkan otot sokongan sendi makin lemah, berat badan meningkat perlahan-lahan serta bebanan pada sendi bertambah tanpa disedari.

Kombinasi sejuk, kurang pergerakan dan pertambahan berat badan inilah yang akhirnya mencetuskan rasa sakit sendi tiba-tiba muncul ketika seseorang itu pergi 'travel', sedangkan masalah itu sudah lama wujud dalam tubuh.

Terdapat lima saranan dan langkah mudah yang dikongsikan PHM bagi mengurangkan rasa sakit sendi waktu sejuk.

1. Lindungi sendi dengan pakaian tebal, stoking dan sarung tangan.

2. Bangun dan regangkan badan setiap 1 hingga 2 jam.

3. Jangan biarkan diri 'beku' depan skrin terlalu lama.

4. Kekalkan senaman sendi yang diajar doktor, walaupun ketika bercuti.

5. Minum air secukupnya dan kawal berat badan.

Bagaimanapun, dapatkan rawatan segera jika sakit sendi datang bersama simptom ini, antaranya:

1. Bengkak, panas dan kemerahan

2. Sukar memijak hingga tidak boleh berjalan

3. Sakit mendadak dan pada tahap sangat teruk

4. Demam atau sesak nafas

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia