SEORANG ibu tiga anak ditemukan meninggal dunia di rumah teman lelakinya selepas dipercayai mengambil terlalu banyak ubat tahan sakit (painkiller) untuk masalah sakit belakang kronik yang lama ditanggungnya.
Mangsa, Amie Barnes, 37, dilaporkan minum secawan wain dan makan bersama pasangannya, Jack, sebelum mereka tidur.
Jack kemudian keluar awal pagi untuk bekerja dan sempat mengucapkan selamat tinggal sebelum meninggalkan rumahnya di Thornton-Cleveleys, Lancashire, England.
Namun setibanya semula di rumah, dia menelihat Amie dalam keadaan tertiarap di atas katil dan menyedari sesuatu yang tidak kena sebelum menghubungi pihak berkuasa, dalam kejadian 25 Julai lalu.
Pada awalnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mencurigakan susulan terdapat sedikit kesan darah pada wajah mangsa.

Amie pernah berkhidmat sebagai bidan di Blackpool dan Preston.
Bagaimanapun, siasatan mendapati ia hanyalah kesan darah yang terkeumpul serta kesan tekanan kerana Amie tertidur di atas vape (rokok elektronik).
Laporan toksikologi menunjukkan Amie mengambil beberapa jenis ubat tahan sakit yang sudah lama dipreskripsikan kepadanya sementara menunggu pembedahan tulang belakang dilakukan di Salford Royal Hospital.
Menurut Penolong Koroner, Richard Taylor, setiap ubat yang diambil sebenarnya tidak berbahaya dimakan secara berasingan, namun gabungan kesemuanya berkemungkinan menyebabkan tahap sedasi (mengantuk atau separa sedar) tinggi sehingga membawa kepada insiden tidak disengajakan itu.
"Dia mungkin hanya berniat untuk meredakan kesakitan. Tiada bukti menunjukkan ia perbuatan yang disengajakan,” katanya yang mengklasifikasikan punca kematian sebagai misadventure, iaitu akibat tidak sengaja daripada tindakan sendiri.
Amie sebelum ini berkhidmat sebagai bidan di Blackpool dan Preston, termasuk pernah menjadi bidan khas dalam unit sokongan kehilangan (keguguran) kandungan.


