suria

Ada cara nak kenal suami gay, biseksual... Peguam syarie kongsi ciri-ciri berdasarkan pengalaman kendali kes

Terdapat beberapa ciri yang boleh diperhatikan untuk kenal pasti lelaki songsang. -Gambar hiasan AI

ISU dalam perkahwinan melibatkan suami mempunyai orientasi seksual terhadap lelaki kini menjadi topik hangat dalam masyarakat. 

Seorang peguam syarie di Terengganu, Syuhada Mzul berkongsi pengamatan profesionalnya berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada wanita khususnya golongan isteri yang berdepan situasi ini.

Perkongsian ini bukan hasil kajian akademik, tetapi pemerhatiannya di lapangan dalam konteks undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Fahami perbezaan gay, biseksual dan MSM

Menurut Syuhada, orientasi seksual gay merujuk kepada lelaki yang tertarik kepada golongannya sahaja, manakala biseksual tertarik kepada lelaki dan wanita. 

Dalam perubatan, terdapat kategori MSM (men who have sex with men) iaitu lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki kerana jenis hubungan ini dikaitkan dengan risiko jangkitan penyakit yang lebih tinggi.

Tambahnya, orientasi semata-mata bukan punca penyakit, namun tingkah laku seksual berisiko boleh membawa kepada jangkitan seperti HIV dan STI.

Dalam beberapa kes, suami yang mempunyai tarikan seksual kepada lelaki boleh menjejaskan hubungan dengan isteri, antaranya:

1. Tidak mampu atau tidak cenderung menjalinkan hubungan kelamin dengan isteri (nafkah batin terabai)

2. Memberi nafkah zahir seperti biasa, malah menjaga keluarga dengan baik

3. Tetap menjaga reputasi sosial kerana stabil dalam pekerjaan dan dihormati masyarakat

Keadaan ini menyebabkan ramai isteri memilih bertahan atas pelbagai sebab, antaranya berharap suami akan berubah, tekanan keluarga dan stigma masyarakat, amat bergantung kepada kewangan suami serta kekurangan bukti yang jelas.

Ada juga kes di mana isteri mengalami tekanan emosi yang berpanjangan kerana hubungan rumah tangga tidak dapat dijalani seperti sepatutnya.

Golongan songsang menjalinkan hubungan sejenis yang melampaui batas persahabatan biasa. -Gambar hiasan AI

Hubungan seksual berisiko antara lelaki boleh meningkatkan kecederaan (bernanah dan membusuk) dan pendedahan kepada jangkitan yang boleh dipindahkan pada pasangan wanita melalui hubungan kelamin biasa.

Oleh itu, Syuhada menasihatkan isteri yang berdepan situasi sebegini agar mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta bertanya mengenai rawatan ARV, PrEP atau PEP di hospital kerajaan bagi individu yang berisiko atau telah dijangkiti.

Menurut Syuhada, mengesahkan orientasi seksual seseorang bukan semudah mengesan suami curang dengan wanita tetapi pola kelakuan yang konsisten sehingga menimbulkan keraguan.

Antara pola yang sering menimbulkan keraguan termasuk:

1. Menolak hubungan intim secara berulang tanpa sebab munasabah.

Tiada keinginan fizikal malah tiada sentuhan mesra dalam tempoh sangat panjang.

2. Lebih tertarik secara emosi yang luar biasa kepada lelaki tertentu.

Bukan sekadar rapat, tetapi perhatian yang melampaui hubungan persahabatan biasa.

3. Kecenderungan kepada kandungan pornografi lelaki secara konsisten

Sejarah carian di laman sesawang yang kerap dan berulang (bukan terklik secara tidak sengaja).

4. Akaun atau aplikasi rahsia untuk berhubungan dengan lelaki

Menggunakan aplikasi sosial tertentu di platform media sosial untuk berinteraksi dengan individu lelaki lain.

5. Hilang tanpa alasan yang kukuh

Sering keluar malam, bertemu 'kawan lelaki' secara sangat rahsia dan tidak memberi penjelasan jelas.

6. Kurang berminat terhadap penampilan isteri tetapi menjaga penampilan sendiri untuk dilihat lelaki

Berhias berlebihan, mencari 'validation' (pengesahan) daripada lelaki lain.

Syuhada menegaskan bahawa tanda-tanda ini bukan bukti muktamad, tetapi boleh menjadi petunjuk awal bagi isteri untuk menilai semula keadaan rumah tangga.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia