KETIKA ramai mengalami batuk berpanjangan sejak kebelakangan ini, pempengaruh media sosial, Mia Azhar turut berkongsi pengalaman sama.
Namun tanpa disangka, gejala batuk itu rupanya jangkitan kuman pada paru-paru.
Dalam satu hantaran di Threads, Mia atau nama sebenarnya Syaza Amira Azahar memaklumkan bahawa batuk yang berlarutan hampir sebulan itu melarat sehingga memaksa dia dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Jelasnya, dia pada awalnya menganggap batuk yang dialami tidak serius, namun mengambil keputusan menjalani pemeriksaan X-ray selepas mula berasa sesak pada bahagian dada.
"Baru dapat tahu yang batuk berpanjangan saya ni disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru. Saya terdetik nak buat X-ray sebab dada rasa sesak sangat.
"Maksudnya saya berjaya habiskan half marathon, larian 21KM (kilometer) pertama saya tu dengan paru-paru penuh kuman," ceritanya.
Untuk rekod Mia baharu sahaja menyertai acara larian sejauh 21km pada 29 November lalu di Shah Alam.
Mia turut berkongsi foto hasil imbasan X-ray yang menunjukkan jalur putih pada paru-parunya, difahamkan tanda kehadiran kuman.
Menurutnya, keadaan itu menjelaskan punca dia mengalami simptom seperti sukar bernafas dan batuk berulang kali.
"Kepada mereka yang batuk berpanjangan, rasa macam sesak pada dada dan bernafas macam semput, batuk kerap lepas tu rasa nak batuk tapi tak lepas sebab tak ada kahak, pergi buat X-ray terus.
"Saya dah pergi ambil darah dekat klinik. Bacaan semua okey siap buat swab test tapi tak ada masalah pun. Tahu-tahu jangkitan pada paru-paru. Tak pasal-pasal kena ambil antibiotik," katanya.
Susulan itu, pempengaruh yang memiliki lebih 2.3 juta pengikut di TikTok itu dalam hantaran terbaharu turut memuat naik swafoto dia di hospital sambil menggunakan nebulizer.
"Terima kasih semua yang mendoakan kesihatan saya. Ada sesiapa pernah kena Acute Bronchitis, ada pantang larang tak yang anda semua boleh kongsikan?
"Pertama kali guna Guarantee Letter dalam masa empat tahun bayar insurans ni. Pertama kali juga guna neb. Patutlah anak saya tak suka pakai, rasa masin," ujarnya.


