suria

Tak semua lelaki sesuai dipanggil 'abang', ibu-ibu diminta ajar anak perempuan cara komunikasi - "Biarlah orang kata kolot"

Panggilan untuk seseorang individu perlu disesuaikan dengan situasi, umur dan pangkat. -Gambar hiasan AI

ETIKA komunikasi dalam masyarakat sering dinilai melalui cara seseorang itu memilih kata sapaan, lebih-lebih lagi ketika berinteraksi dengan individu yang tidak mempunyai pertalian rapat. 

Penggunaan panggilan yang tepat bukan sahaja melambangkan budi bahasa, malah mencerminkan tahap profesionalisme serta batas sosial yang perlu dijaga.

Pakar hubungan dan kekeluargaan, Sharifah Zahidah, sebelum ini mengupas isu penggunaan panggilan yang menurutnya wajar diberi perhatian oleh wanita, khususnya ketika berinteraksi dengan lelaki bukan mahram.

Menurutnya, panggilan 'tuan' atau 'encik' lebih sesuai digunakan berbanding perkataan 'abang' dalam situasi umum kerana ia bersifat neutral serta tidak membawa maksud atau menjurus ke arah romantik.

"Panggilan abang adalah panggilan yang ada dua makna sekali gus. Elak menggunakannya adalah lebih baik dan lebih dekat kepada ketinggian etika sosial kita sebagai wanita.

"Kenapa panggilan abang je jadi masalah? Panggilan kakak tak jadi masalah pun? Sebab tak pernah orang guna pun panggilan kakak sebagai romantis yang berbeza dengan panggilan abang.

"Jadi, mengelak diri untuk ber'abang-abang' dengan lelaki luar sana itu bukan sesuatu yang tidak berasas. Bahkan, asas dan hujahnya jelas," ujarnya.

Pakar menjelaskan bahawa walaupun perkataan 'abang' boleh digunakan secara umum namun realitinya sapaan itu lebih kerap dikaitkan dengan bahasa manja dalam hubungan suami isteri.

Jelasnya lagi, penggunaan panggilan abang hanya dianggap wajar apabila ada pertalian kekeluargaan seperti abang sepupu atau abang ipar, kerana asas penggunaannya adalah jelas serta tidak mengundang salah tafsir. 

Perkataan 'abang' biasanya digunakan sesetengah isteri sebagai panggilan manja terhadap suami. -Gambar hiasan

Namun dalam situasi sosial atau profesional seperti ketika berurusan dalam perniagaan, panggilan formal lebih mencerminkan etika sosial dan jarak perhubungan yang sewajarnya.

"Adapun jika anda kerja di kedai kasut nak ber'abang-abang' dengan pelanggan kenapa pula? Tiada sebarang talian kekeluargaan, bukan? Jadi panggilan yang sesuai dan melambangkan ketinggian etika sosial anda adalah panggilan tuan atau encik. 

"Panggilan pun di bawah bumbung awam yang lebih sesuai dengan situasi formal. Maka, panggilan formal lebih sesuai. Anda hanya jumpa sekali sekala yang menunjukkan betapa jauhnya hubungan dengan mereka.

"Jadi, seharusnya ada sedikit malu untuk ber'abang-abang' dengan mereka. Abang-abang jika mereka orang dekat dengan kita. Encik-encik pula, jika mereka orang jauh. Tidaklah susah pun untuk faham dan praktis hal ini," jelasnya.

Beliau menasihatkan wanita untuk membiasakan diri menggunakan panggilan yang jelas, profesional dan tidak mengandungi elemen keintiman terutama ketika berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali rapat.

Zahidah turut menyarankan agar ibu-ibu mendidik anak perempuan mengenai adab panggilan sejak kecil, demi memastikan generasi seterusnya lebih peka dalam menjaga batas komunikasi.

"Ibu-ibu, ajarlah ya anak perempuan kita hal ni. Biarlah orang kata kita kolot pun. Ralat sungguh tengok anak gadis usia 18 tahun ber'abang-abang dengan' lelaki dewasa menghampiri usia 40 tahun. 

"Mengapa dengan panggilan encik? Buruk sangatkah panggilan ini? Bukankah panggilan ini lebih jelas dan nyata. Agak sukar untuk saya fahami kenapa orang 'anti' dengan formaliti encik yang tak susah pun.

"Kadangkala, daripada salah panggilan inilah akan terbit salah-salah yang lainnya. Jadilah wanita yang sentiasa melazimi praktis profesional dan mengutamakan ketinggian etika dalam bersosial," katanya.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia