FAKTOR yang menentukan nasi cepat atau lambat basi biasanya bergantung kepada cara beras dicuci, jenis periuk yang digunakan, serta kaedah penyimpanan betul.
Di Thread, seorang wanita mendakwa jenis air yang digunakan ketika cucian beras juga memainkan peranan penting untuk memastikan nasi bertahan lama.
"Satu tip untuk elakkan nasi cepat basi, guna je air paip biasa. Dulu saya masak guna air tapis, tapi nasi selalu tak sampai 24 jam dah basi walaupun dah guna macam-macam cara.
"Lepas tukar balik guna air paip biasa, Alhamdulillah nasi memang tak cepat basi sampai keesokan harinya. Tip ni pun saya jumpa dari satu perkongsian Thread.
"Tak pasti apa sebab saintifiknya, tapi memang cara ini berkesan," tulis wanita itu.
Tip lain
Dalam pada itu, ramai pelayar Thread turut berkongsi cara dan tip masing-masing untuk memastikan nasi lambat basi.
"Mak saya selalu letak cuka satu sudu. Dulu nasi selalu basi, sekarang makan tengah hari esok pun nasi masih elok.
"Buka api dapur, lepas tu terbalikkan periuk. Belah dalam (periuk) menghadap api dapur masak tu. Dalam 30 saat je, lepas tu masak nasi. Insya-Allah tak basi.
"Bila nasi mula basi, saya rendam periuk dengan air garam dan cuka. Kadang rebus periuk tu dengan air garam dan cuka," kongsi netizen lagi.


