SEORANG lelaki yang selama ini hidup sebagai penghidap HIV diisytiharkan bebas AIDS selepas menerima pemindahan sel tunjang (stem cell) untuk merawat kanser darah.
Menurut portal NDTV, lelaki berusia 51 tahun itu menjadi individu ketujuh di dunia yang diisytiharkan bebas daripada penyakit itu dan yang kedua mencapai kejayaan ini tanpa daya tahan khas terhadap HIV.
Pesakit itu menerima sel tunjang biasa daripada seorang penderma dan didapati bebas HIV selepas pemindahan tersebut.
Menurut jurnal New Scientist, prosedur itu pada mulanya dijalankan untuk merawat kanser darahnya dan bukan penyakit HIV namun rawatan berkenaan dilihat turut menghapuskan virus tersebut.
Ketua Makmal Imunologi Translasi Jangkitan Virus dan Program Perubatan Berjangkit Peribadi di Institut Kesihatan Berlin, Christian Gaebler berkata, kes ini membuktikan bahawa kesembuhan mungkin dicapai tanpa daya tahan khas tersebut, sekali gus membuka lebih banyak pilihan dalam usaha merawat HIV.
Lelaki itu menerima pemindahan sel tunjang pada Oktober 2015 untuk merawat leukemia dan sebagai salah satu daripada proses rawatan, dia menjalani kemoterapi untuk memusnahkan sebahagian besar sel imun sedia ada.
Selepas pemindahan sel tunjang, lelaki itu berhenti mengambil ubat antiretroviral (ART) pada akhir 2018 yang biasanya digunakan oleh individu hidup dengan HIV untuk mengawal virus tersebut.
Dalam proses pemindahan itu, majoriti sel yang dijangkiti HIV turut dihapuskan.
Disebabkan tiada sel tunjang daya tahan tkhas HIV tersedia, doktor menggunakan sel tunjang dengan satu salinan normal dan satu salinan bermutasi gen CCR5.
Pada usia 61 tahun, lelaki Jerman berkenaan sembuh daripada HIV.
"Sesuatu yang menakjubkan kerana 10 tahun lalu peluangnya untuk meninggal dunia akibat kanser sangat tinggi dan kini dia berjaya mengatasi diagnosis maut itu, jangkitan virus yang berpanjangan, dan tidak lagi mengambil sebarang ubat. Dia sihat," kata Gaebler.
Individu pertama yang pernah diisytiharkan sembuh daripada HIV ialah Timothy Ray Brown, dikenali sebagai 'pesakit Berlin', pada 2008.
Timothy bebas HIV selepas menerima pemindahan sel tunjang yang mempunyai daya tahan terhadap HIV, bagaimanapun meninggal dunia akibat kanser pada 2020.


