suria

Lelaki mengaku gian tengok pornografi, dah cuba berhenti tapi gagal... UAI, pakar cadang solusi mudah

Ketagihan terhadap pornografi boleh memudaratkan diri. -Gambar hiasan AI (kiri)

MASALAH ketagihan menonton kandungan tidak sihat dan pornografi semakin kerap diperkatakan.

Begitu juga dengan seorang individu yang mengaku sedang bergelut dengan masalah suka melihat bahan lucah selain beronani sejak kecil. 

Merungkai kemelut tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tampil memberikan penjelasan dan panduan menerusi satu rakaman video di saluran YouTube ketika sesi kuliah agama pada 29 Julai lalu.

Menurut UAI, isu ketagihan bahan tidak bermoral ini perlu ditangani dengan langkah yang betul kerana ia mampu memberi kesan kepada emosi dan perkembangan diri. 

Menjawab soalan yang diajukan lelaki tersebut, UAI menjelaskan beberapa langkah yang boleh membantu seseorang mengawal kecenderungan tersebut.

UAI menyarankan golongan ini supaya berpuasa sunat sebagai kaedah paling mudah untuk mengawal dorongan nafsu, khususnya bagi golongan muda yang belum bersedia untuk berumah tangga. 

Katanya, sifat tertarik antara lelaki dan wanita adalah fitrah ciptaan Allah SWT, namun ia perlu dikawal mengikut batasan agama.

Bagi orang dewasa yang sudah stabil dan mampu, UAI berkata perkahwinan merupakan jalan penyelesaian yang dapat membantu menjaga maruah serta mengelakkan diri daripada tingkah laku yang tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) turut berkongsi beberapa panduan praktikal untuk membantu membendung ketagihan bahan lucah, terutamanya bagi remaja dan individu yang sedang berusaha pulih.

4 langkah atasi ketagihan menonton pornografi

1. Kurangkan masa tontonan secara berperingkat

Mulakan dengan menjarakkan tempoh menonton contohnya dari sekali sehari kepada sekali dalam tiga hari kerana pengurangan secara konsisten boleh membantu meninggalkan tabiat itu dalam beberapa minggu.

2. Jauhi akses kepada sumber tidak sihat

Pantau masa yang dihabiskan di laman-laman tertentu, contohnya jika anda menggunakan komputer, sekat laman yang sering dikunjungi atau gunakan ciri penapisan kandungan.

3. Alihkan fokus kepada aktiviti yang membina

Isi masa dengan perkara bermanfaat seperti seni, membaca, bersukan, melakukan kerja sukarelawan atau aktiviti yang memberi nilai positif kepada kehidupan.

4. Ubah suasana di sekeliling anda

Kurangkan situasi bersendirian yang boleh mencetuskan tabiat lama contohnya, letakkan komputer di ruang terbuka agar lebih mudah dikawal dan tidak terdedah kepada godaan.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia