SEGELINTIR individu bagaikan hilang rasa malu apabila secara terang-terangan mendedahkan aib rumah tangga di media sosial.
Selain pendedahan kes curang, ada juga yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk mendapatkan keadilan selepas dianiaya pasangan.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial adalah haram kerana ia membuka aib dan menjejaskan maruah pasangan serta bertentangan dengan ajaran Islam.
Namun, Islam membenarkan pendedahan dalam keadaan tertentu, iaitu secara tertutup kepada pihak berautoriti seperti di mahkamah atau pejabat agama bagi tujuan mendapatkan keadilan dan menyelesaikan kezaliman.
Situasi yang dibenarkan mendedahkan keaiban
Islam menegakkan prinsip keadilan dengan mempertahankan hak individu yang dizalimi serta menolak segala bentuk penindasan di atas muka bumi.
Namun begitu, Islam juga menetapkan kaedah yang tepat dan had yang perlu dipatuhi dalam menangani sesuatu permasalahan.
Hal ini kerana tindakan menyebarkan kesalahan atau aib seseorang kepada khalayak umum atau melalui saluran yang tidak wajar turut dianggap sebagai satu bentuk kezaliman yang dilarang oleh syarak.
Seperti yang dijelaskan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-786: Membuka Aib yang Dibenarkan dalam Islam, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan dalam Islam untuk membuka aib, mengumpat atau menceritakan keburukan seseorang apabila mempunyai tujuan benar menurut syarak yang tidak dapat dicapai kecuali dengan cara tersebut.
Tujuan situasi tersebut diringkaskan seperti berikut:
1. Untuk menuntut keadilan (mengadu kezaliman)
2. Untuk mencegah kemungkaran
3. Untuk meminta fatwa atau nasihat hukum
4. Untuk memberi nasihat atau amaran kepada masyarakat
5. Apabila seseorang terang-terangan melakukan maksiat
6. Untuk tujuan pengenalan - dengan menyebut gelaran buruk yang biasa digunakan untuk mengenalinya.

Perbuatan mendedahkan aib pasangan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. -Gambar hiasan AI
Media Sosial bukan medium menuntut hak atau membela diri
Pendedahan masalah rumah tangga di media sosial membuka ruang campur tangan pihak luar yang tidak memahami situasi sebenar, sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham.
Lebih membimbangkan, aib pasangan yang sepatutnya dijaga menjadi tontonan umum.
Islam menegaskan pentingnya menjaga maruah diri dan keluarga dengan menutup keaiban antara suami isteri.
Oleh itu, sebarang masalah wajar diselesaikan secara tertutup dan berhemah, seperti berbincang dengan ahli keluarga yang dipercayai, mendapatkan khidmat kaunselor bertauliah, atau merujuk kepada pihak berautoriti.
Kesimpulan
Menjaga aib pasangan merupakan tuntutan agama yang menekankan kasih sayang, saling menghormati dan pemeliharaan rahsia rumah tangga.
Pendedahan aib di media sosial bercanggah dengan ajaran Islam serta boleh menimbulkan fitnah, kemurkaan Allah SWT dan keruntuhan institusi keluarga.
Islam tidak menolak hak menuntut keadilan, namun ia mesti dilakukan melalui saluran yang sah seperti mahkamah syariah atau pejabat agama.
Oleh itu, setiap Muslim perlu bijak dan berhikmah dalam menangani konflik rumah tangga dengan menjaga maruah diri dan pasangan demi memperoleh keredaan Allah serta kesejahteraan masyarakat.


