PEMERGIAN Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggalkan kesan yang cukup mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah turut membuka satu persatu cerita kebaikan sepanjang hayatnya.
Di sebalik pelbagai hantaran dibuat, terselit banyak perkongsian menyentuh hati mengenai peribadi arwah yang tidak ramai tahu sekali gus membuatkan ramai tidak mampu menahan sebak.
Perkara itu turut disentuh oleh pendakwah selebriti Ustazah Asma' Harun yang mengakui dia gagal menahan air mata apabila membaca tangkap layar perkongsian tentang kebaikan arwah di media sosial.
Menurut Asma', kebaikan yang dikongsikan itu seakan memperlihatkan bahawa Bung Moktar sebenarnya jauh berbeza daripada apa yang sering dilihat dan dinilai masyarakat.
"Makin sebak pula bila begitu ramai yang menulis dan berkongsi tentang kebaikan dan kemuliaan hati Allahyarham Bung Mukhtar. Boleh jadi kerana beliau begitu berbeza dengan apa yang dilihat dan dinilai.
"Tolak tepi soal politik, cuba baca setiap tangkap skrin di bawah, hati yang sukakan kebaikan pasti akan terusik, bila saya baca satu demi satu, tanpa sedar air mata pun boleh menitik," katanya di Facebook.
Ustazah Asma’ turut mengajak orang ramai menjadikan pemergiannya sebagai medan muhasabah diri dan mengambil pengajaran daripada nilai hidup yang ditinggalkan.

Antara tangkap layar dikongsi Asma' di Facebook.
Antara pengajaran dikongsikan adalah seperti berikut:
1. Kebaikan walau sekecil zarah tetap akan dibalas
Surah az-Zalzalah ayat 7
Maksudnya: Maka sesiapa yang melakukan kebaikan walau seberat zarah, nescaya akan diperlihatkan (balasannya).
2. Membuat kebaikan tanpa perlu diceritakan
Riwayat muslim
Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang merasa cukup sifat Qanaah (berpada dengan rezeki), dan yang menyembunyikan amalnya.
3. Istiqamah menjaga hubungan dengan Allah
Dalam kesibukan urusan dunia, Allahyarham dilihat tetap menjaga solat, zikir dan bacaan al-Quran secara berterusan hingga ke akhir hayat.
Tanda seseorang itu diinginkan kebaikan oleh Allah ialah apabila dia diberi taufik untuk terus beramal sehingga sebelum kematian.
4. Kasih sayang mengundang kasih sayang
Walaupun dilihat tegas, Allahyarham sebenarnya seorang yang penyayang kepada keluarga dan masyarakat. Sesiapa yang mengasihani, pasti akan dikasihi.
5. Pemurah tanpa mengharap balasan
Asma' turut berkongsi mengenai sifat pemurah menjadikan seseorang itu dekat dengan Allah, manusia dan syurga manakala sifat bakhil pula hanya menjauhkan diri daripada semuanya.
Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Jumaat ketika sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Difahamkan, beliau meninggal dunia pada jam 1.46 pagi akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada bahagian paru-paru.
Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu pada hari yang sama.
Allahyarham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag sejak September 2020 selain memegang jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan juga Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Allahyarham meninggalkan dua orang isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh anak.


