suria

Sah ke solat pakai baju, telekung kena air liur basi? Hati-hati kalau ada ‘peta’ kuning, bau masam

Umat Islam perlu berhati-hati dalam isu 'air liur basi' agar ibadah solat menjadi sempurna. -Gambar hiasan AI

RAMAI dalam kalangan umat Islam mungkin pernah berdepan situasi bangun tidur dan mendapati baju atau telekung terkena kesan air liur basi yang berbau masam. 

Dalam keadaan tergesa-gesa, ada individu yang terus mengambil wuduk dan menunaikan solat tanpa memikirkan hukum sebenar sama ada ia dikira najis atau tidak.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil memberi penjelasan bagi meleraikan kekeliruan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, antara syarat sah solat ialah memastikan tubuh badan, pakaian dan tempat solat berada dalam keadaan suci serta bebas daripada najis.

Justeru, persoalan mengenai air liur yang terkena pada pakaian perlu difahami dengan jelas.

Jelas Asma’, para ulama sepakat bahawa air liur manusia pada asalnya adalah suci. 

Sekiranya seseorang terjaga dan mendapati air liurnya sendiri terkena pada pakaian, tidak dianggap sebagai najis selagi ia benar-benar air liur biasa.

Perkara ini disokong oleh firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 70.

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

Selain itu, hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA turut menyebut dalam Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin itu tidak bernajis.

Malah, peristiwa yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA juga menjelaskan perkara sama apabila dia berkongsi bahawa Nabi Muhammad pernah minum dari tempat sama (letak mulut) walaupun isterinya dalam keadaan haid (Hadis Riwayat Muslim). 

Ustazah Asma' banyak berkongsi ilmu hukum hakam di media sosial.

Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang keluar daripada selain kemaluan seperti air liur, peluh dan daki adalah tidak bernajis.

Namun, kekeliruan sering timbul apabila masyarakat menggunakan istilah 'air liur basi', iaitu air liur yang keluar ketika tidur sehingga mengering serta meninggalkan kesan kekuningan serta berbau sedikit masam.

Dalam hal ini, para ulama menjelaskan bahawa air liur yang keluar ketika tidur tetap dianggap sebagai suci kerana ia berasal dari dalam mulut. 

Isu hanya timbul sekiranya air liur tersebut bercampur dengan muntah, darah daripada gusi atau cecair dalam perut. 

Jika berlaku sedemikian, maka hukumnya berubah menjadi najis kerana ia bukan lagi air liur semata-mata.

Perlu difahami bahawa perut tidak menghasilkan air liur, sebaliknya mengeluarkan cecair berasid yang berbau busuk dan berwarna kekuningan.

Cecair inilah yang dirujuk oleh para fuqaha (ahli ilmu fiqah) sebagai cecair daripada dalam perut dan sering disalah anggap sebagai 'air liur basi'.

Oleh itu, solat yang dilakukan dengan pakaian yang terkena air liur adalah sah dan tidak dikira bernajis selagi ia benar-benar air liur biasa maka kita tidak perlu dibasuh atau ditukar pakaian tersebut.

Namun, jika benar-benar diyakini bahawa pakaian terkena cecair daripada dalam perut, maka ia dianggap najis dan wajib dibasuh.

Bagaimanapun, sekiranya keadaan itu sering berlaku, ia dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Dalam keadaan ragu-ragu sama ada cecair tersebut berasal dari mulut atau perut, Asma’ menyarankan agar pakaian yang terkena air tersebut dibasuh terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati sebelum menunaikan solat.

Artikel Lain