TIMBUL persoalan daripada seorang individu yang ingin mengetahui hukum apabila sedang solat secara sendirian lalu dicuit secara tiba-tiba untuk dijadikan imam. Memandangkan sejak awal tidak berniat menjadi imam, dia mahukan kepastian sama ada boleh menolak dan adakah sah solat dan mendapat pahala bagi makmum yang mengikutnya. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isu ini telah dijelaskan secara terperinci dalam fatwa yang dikeluarkan.Menurut mazhab al-Syafie, solat berjemaah tetap sah walaupun imam dan makmum berbeza niat.Malah makmum berkenaan dibenarkan untuk menunaikan solat sunat mengikut imam yang sedang solat fardu dan begitu juga sebaliknya.Perkara ini turut dihuraikan Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (4:269) yang menyatakan bahawa solat makmum tetap sah walaupun berbeza jenis solat dengan imam.Justeru, jika seseorang yang sedang solat sunat dicuit untuk menjadi imam kepada makmum yang solat fardu, solat makmum tetap sah dan begitu juga sekiranya keadaan berlaku sebaliknya. Pejabat Mufti turut menegaskan bahawa orang yang dicuit tidak boleh menjadikan alasan 'tidak berniat menjadi imam' untuk menolak. Bahkan, dia boleh sahaja berniat sebagai imam walaupun ketika sedang menunaikan solat sunat.Namun, sekiranya dia langsung tidak berniat menjadi imam sekalipun, solat makmum di belakangnya tetap sah kerana dalam mazhab al-Syafie, niat imam bukan syarat sah solat berjemaah. Hal ini dinyatakan dan ditegaskan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk (4:203).Maksudnya: Pandangan yang benar ialah niat menjadi imam tidak wajib dan tidak disyaratkan untuk keabsahan solat makmum mengikuti imam. Pandangan ini disepakati oleh jumhur ulama shafiiyyah.Kesimpulannya, selagi makmum berniat untuk solat berjemaah, maka solatnya adalah sah walaupun individu yang dicuit itu sendiri tidak berniat menjadi imam.