SEORANG wanita berusia 54 tahun ditahan polis susulan kematian tragis cucu perempuannya yang berusia 11 bulan selepas dipercayai lemas dalam baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Seremban.Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.20 malam, pada Selasa. Menurutnya, siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa meninggalkan bayi tersebut di rumah neneknya sekitar pukul 9 pagi sebelum keluar bekerja."Sekitar pukul 2.30 petang, nenek mangsa meletakkan bayi itu di dalam buaian sebelum pergi ke dapur untuk memasak serta menjemur pakaian."Tidak lama kemudian, neneknya menyedari mangsa tidak berada dalam buaian,"katanya dalam satu kenyataan.Tambahnya, wanita tersebut kemudian bertindak mencari mangsa sebelum menemuinya di dalam baldi berisi air sabun dalam keadaan kepala berada di bawah.Wanita itu kemudian membawa mangsa ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar.Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.Menurut ACP Yatim, bedah siasat sudah dijalankan namun keputusan penuh masih belum diperoleh.Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan, pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp R. Sinniah di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerusi talian 06-6033222.