SEORANG lelaki terpaksa menanggung kesakitan ketika membuang air kecil selama hampir tiga tahun sebelum dikejutkan dengan penemuan batu gergasi seberat 1.3 kilogram di dalam pundi kencingnya.Lelaki berusia 56 tahun yang dikenali sebagai Chen dari wilayah Guangdong di selatan China, mendapatkan rawatan di Hospital Xuwen selepas tidak lagi mampu menahan kesakitan yang dialaminya. Difahamkan, dia mengalami masalah kerap kencing dan rasa sakit yang teruk setiap kali membuang air kecil sejak tiga tahun lalu.Keadaannya bertambah serius sejak kebelakangan ini sehingga dia takut untuk keluar jauh pada waktu siang dan sukar tidur pada waktu malam akibat terlalu kerap ke tandas.Hasil pemeriksaan mendapati Chen mempunyai batu gergasi berukuran 10 sentimeter (cm) x 13cm di dalam pundi kencingnya.Imbasan lanjut menunjukkan batu tersebut hampir memenuhi keseluruhan ruang pundi kencing.Lebih membimbangkan, keadaan itu turut menyebabkan hidronefrosis bilateral iaitu kedua-dua buah pinggang membengkak akibat pengumpulan air kencing, selain mencetuskan jangkitan saluran kencing yang serius.Pasukan perubatan kemudian merancang pembedahan khas sebelum berjaya mengeluarkan batu berkenaan.Batu tersebut dilaporkan seberat 1.3kg dan bersaiz kira-kira sebesar dua penumbuk orang dewasa.Chen kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih selepas menjalani rawatan.Punca sebenar batu berkenaan tidak didedahkan pihak hospital.Bagaimanapun, pakar urologi, Wang Guangchun dari Hospital Rakyat Shanghai menjelaskan bahawa batu pundi kencing biasanya terbentuk apabila air kencing terkumpul terlalu lama di dalam pundi kencing. -Agensi