PUTUS cinta bukan sahaja memberi kesan kepada emosi, malah boleh menjejaskan keadaan kulit. Ramai menyedari wajah mereka tiba-tiba lebih mudah berjerawat, kusam atau sensitif selepas mengalami patah hati. Keadaan ini bukan sekadar perasaan, sebaliknya stres emosi akibat perpisahan memang boleh mencetuskan perubahan dalam tubuh yang memberi kesan langsung kepada kesihatan kulit.Pakar dermatologi dan psikologi dari New York, Dr. Amy Wechsler, berkata peningkatan hormon stres dalam badan menjadi antara punca utama kulit lebih mudah bermasalah.“Saya sering menemui pesakit yang mengalami breakout selepas putus cinta,” ujarnya.Salah satu sebab utama kulit mudah breakout selepas putus cinta ialah stres emosi.Walaupun seseorang merasakan dirinya baik-baik sahaja, tubuh tetap boleh memberi reaksi terhadap tekanan mental secara senyap. Ramai individu berdepan tekanan emosi berpanjangan gara-gara putus cinta. -Gambar hiasan AIPerasaan sedih, cemas dan kecewa boleh meningkatkan penghasilan hormon kortisol dalam badan.Kortisol dikenali sebagai hormon stres yang boleh mencetuskan keradangan pada kulit sehingga menyebabkan jerawat muncul lebih mudah. Dalam keadaan stres berpanjangan, pengeluaran minyak pada wajah juga boleh meningkat sekali gus menyebabkan pori pori mudah tersumbat.Selain wajah, ada juga individu yang mengalami breakout pada bahagian badan lain seperti belakang badan dan dada ketika tekanan emosi berada pada tahap tinggi.Putus cinta juga sering menyebabkan seseorang sukar tidur sedangkan rehat yang mencukupi penting untuk membantu tubuh membaiki sel kulit.Menurut Dr. Wechsler, kadar kortisol berada pada tahap paling rendah ketika tidur, manakala hormon pertumbuhan dan molekul pemulihan tubuh meningkat. Jika seseorang berjaga terlalu lama, kulit akan terus terdedah kepada hormon stres dan kehilangan peluang untuk pulih secara optimum.Akibatnya, kulit menjadi lebih sensitif, kusam dan mudah berjerawat. -Agensi