ISU status halal atau haram makan dan minum yang telah dibelanjakan kepada seseorang sering dibangkitkan apabila berlaku pertelingkahan antara rakan atau ahli keluarga.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), makanan dan minum yang diberikan kepada seseorang akan kekal halal dan tidak berubah statusnya walaupun berlaku perselisihan selepas itu.
Azhar menerusi satu ceramah yang disiarkan di platform YouTube menjelaskan bahawa apabila sesuatu pemberian disedekahkan atau diberikan dengan sempurna, pemilikannya sudah berpindah kepada penerima.
"Ada individu berbalah dengan kawan dan dia cakap... aku tak halalkan apa yang aku sudah belanjakan untuk kau selama ni.
"Boleh ke buat macam tu? Jadi halal ke haram? Jawapannya tetap halal.
"Apabila kita sudah sedekah kepada orang, tapi lepas tu kata haram... tak jatuh hukum haram," jelasnya menerusi satu kuliah Maghrib.
Oleh itu, ia tidak boleh dihukumkan sebagai haram hanya dengan lafaz atau dakwaan selepas berlaku konflik kerana mengharamkan pemberian tidak memberi kesan daripada sudut hukum syarak.

Hukum mengenai status halal dan haram itu dijelaskan UAI menerusi satu kuliah diadakan.
Namun, hukum haram boleh berlaku sekiranya sesuatu harta atau barang itu belum diambil atau tidak diberikan lagi.
Dalam keadaan ini, perbuatan mengambil harta tersebut adalah haram kerana melibatkan pengambilan tanpa hak.
"Yang menjadi haram ialah apabila individu berkenaan masih belum mengambilnya lagi dan pemilik meletakkan larangan dengan berkata... aku haramkan sesiapa pun mengambil duit aku dalam rumah ini.
"Dalam keadaan itu, barulah ia jatuh hukum haram. Contohnya, pokok yang berada dalam pagar rumah. Jika dinyatakan... aku haramkan sesiapa mengambilnya tanpa izin aku, maka perbuatan mengambil itu menjadi haram," jelasnya.
Dalam konteks kekeluargaan, kenyataan seperti seorang ibu yang mengatakan dia tidak menghalalkan makan dan minum anaknya yang derhaka juga tidak tepat daripada sudut hukum.
Walaupun perbuatan derhaka tetap berdosa, kaedah menghukum dengan mengharamkan makan minum yang diberikan bukanlah pendekatan selari dengan hukum syarak.
Kesimpulannya, Islam menegaskan bahawa pemberian yang sudah sempurna kekal halal dan tidak boleh diubah statusnya kerana pertelingkahan.
Kefahaman yang betul terhadap prinsip ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam menentukan hukum halal dan haram.


