SUKAN pickleball kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat hingga menarik minat pihak tertentu untuk menganjurkan kejohanan dengan tawaran hadiah lumayan termasuk wang tunai.
Namun, satu perkongsian seorang individu di Threads mencetuskan perbincangan apabila dia mengingatkan tentang status hukum hadiah pertandingan yang diberikan kepada pemenang.
Menurut individu berkenaan, jika hadiah kepada pemenang diambil daripada yuran penyertaan, ia berpotensi jatuh kepada hukum haram.
"Kepada semua host (penganjur) yang buat pickeball ladder session yang pemenangnya dapat hadiah... kalau hadiah yang pemain dapat tu hasil daripada kutipan yuran daripada semua pemain, jatuh hukum haram. Pertandingan pun sama.
"Posting ni bukan ditujukan kepada mana-mana host cuma nak kongsi mungkin ada yang tak tahu. Kita ni sebagai pemain berhak untuk tanya (sumber hadiah) dekat host atau penganjur," tulisnya.
Isu ini sebenarnya pernah dibangkitkan seorang individu yang mengemukakan soalan kepada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai penganjuran pertandingan yang mengenakan yuran penyertaan.

Sukan Pickleball semakin mendapat perhatian ramai terutama generasi muda masa kini. -Gambar hiasan
Dalam soalan tersebut, individu berkenaan menjelaskan yuran yang dikutip daripada peserta mahu digunakan untuk beberapa tujuan, termasuk hadiah kepada pemenang, bayaran gaji pengadil serta kos sewaan tempat serta utiliti.
Jadi dia ingin tahu adakah ia dianggap sebagai judi.
Justeru menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan judi sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan.
Definisi ini selari dengan konsep pertaruhan (qimar) yang ditakrifkan oleh Imam al-Jurjani bahawa setiap permainan yang mensyaratkan pihak kalah menyerahkan sesuatu (seperti duit) kepada pihak yang menang.
Perbuatan ini ditegah dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: Arak dan judi mengandungi dosa besar walaupun ada manfaat, namun dosanya lebih besar daripada manfaat.
Imam al-Tabari dalam tafsirnya turut menyatakan bahawa perbuatan bertaruh tergolong sebagai judi.
Selain itu, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa sekiranya hadiah atau taruhan dikeluarkan daripada kedua-dua pihak yang bertanding dan pemenang mengambil keseluruhan taruhan tersebut, maka ia jelas merupakan perjudian yang diharamkan.
Sehubungan itu, pengambilan yuran peserta semata-mata untuk dijadikan hadiah kepada pemenang dikategorikan sebagai pertaruhan kerana melibatkan kerugian pihak yang kalah.
Sebagai jalan penyelesaian, penganjur disarankan mendapatkan penaja bagi menyediakan hadiah kepada pemenang.
Bagaimanapun, penggunaan yuran penyertaan untuk tujuan pentadbiran seperti sewaan padang, peralatan, dan kos pengurusan adalah dibenarkan kerana semua peserta mendapat manfaat bersama.
Perkongsian ini diharap menjadi peringatan kepada penganjur dan peserta pertandingan agar lebih peka terhadap sumber yuran dan hadiah yang diterima, selaras dengan tuntutan syarak serta prinsip keadilan dalam sukan.


