suria

Bagi alasan 'ikut niat', sekadar suka-suka… Umat Islam kena tahu hukum pakai topi Santa, hias pokok Krismas

Elakkan sebarang perbuatan yang boleh memesongkan akidah sebagai umat Islam. -Gambar hiasan AI

SEBAGAI sebuah negara majmuk, sikap saling menghormati antara satu sama lain merupakan asas keharmonian yang perlu dipelihara.

Namun dalam usaha mengekalkan hubungan baik itu, timbul persoalan mengenai batas yang perlu dijaga oleh umat Islam, khususnya apabila melibatkan perayaan agama lain.

Di lawan web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang individu mengemukakan persoalan tentang hukum bagi orang Islam memakai topi Santa Claus atau perhiasan berkaitan Krismas.

Situasi yang dibangkitkan lebih mencetuskan tanda tanya apabila dia mendapati sebuah pejabat yang keseluruhan stafnya beragama Islam turut memakai topi Santa Claus, malah ada yang meletakkan pokok Krismas di ruang pejabat walaupun tiada kakitangan beragama Kristian.

Menjawab hal tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa pemakaian topi Santa Claus, meletakkan pokok Krismas serta apa-apa perhiasan atau pakaian yang berkaitan dengan sambutan Hari Natal adalah tidak dibenarkan menurut Islam

Hal ini kerana perhiasan dan simbol tersebut sinonim dengan perayaan agama Kristian dan seolah-olah menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan serta kepercayaan tersebut. 

Jika terdapat jemputan, ia hanya dibenarkan sekadar memenuhi keperluan menjaga hubungan baik seperti menghadiri jamuan tanpa melibatkan ritual perayaan.

Secara umumnya, Hari Krismas disambut oleh penganut Kristian pada 25 Disember sebagai perayaan memperingati kelahiran Nabi Isa atau Jesus, menurut kepercayaan mereka. 

Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai tarikh sambutannya, ia tetap merupakan perayaan berteraskan akidah agama lain (Kristian).

Pemakaian topi Santa Claus tidak dibenarkan dalam Islam jika tiada keperluan. -Gambar hiasan AI

Islam melarang umatnya menyerupai syiar atau simbol agama lain, sebagaimana sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Umar:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Dalam isu ini dapat kita melihat bahawa pemakaian topi Santa Claus dan meletakkan pokok krismas adalah tidak dibenarkan jika tiada keperluan.

Ini kerana ia merupakan lambang atau simbol yang sinonim dengan perayaan Hari Krismas apatah lagi jika di pejabat atau tempat itu mempunyai jumlah orang Islam yang lebih ramai.

Garis panduan fatwa kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-68 pada tahun 2005 turut menetapkan bahawa umat Islam tidak dibenarkan menyertai perayaan agama lain jika ia melibatkan perbuatan yang bertentangan dengan akidah, termasuk:

1. Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya. 

2. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

3. Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

4. Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

5. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

Selain itu, terdapat perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang bertentangan dengan syarak jka dilakukan sebagaimana dalam ajaran Islam, contohnya:

1. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama

2. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya

3. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa

4. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya

Sebagai kesimpulan, hubungan baik sesama masyarakat majmuk tetap digalakkan, namun ia perlu berada dalam batas yang tidak menjejaskan akidah Islam. 

Jika ada jemputan, ia terhad kepada keperluan menjaga silaturahim seperti menghadiri jamuan tetapi bukan sebagai pengiktirafan terhadap perayaan atau kepercayaan tersebut.

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia