suria

Sejauh mana kebenaran meninggal dunia hari Jumaat terlepas azab kubur? Ini penjelasan mufti

Kematian hari Jumaat sering dikaitkan dengan pengakhiran baik. -Gambar hiasan

DALAM kalangan masyarakat Islam, meninggal dunia pada hari Jumaat sering dianggap sebagai satu keistimewaan yang membawa maksud pengakhiran yang baik serta perlindungan daripada azab kubur.

Tanggapan ini bukan sesuatu yang asing, malah sering diperkatakan dalam majlis ilmu dan perbualan harian.

Namun ada juga individu yang mempersoalkan kesahihannya kerana terdapat pandangan yang menyatakan dalil berkaitan perkara itu berstatus lemah.

Persoalan berkaitan hal ini dijelaskan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan dengan merujuk kepada kupasan para ulama serta perbincangan tentang hadis-hadis yang berkaitan.

Berdasarkan perbahasan ulama, meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya dilihat mempunyai keistimewaan tertentu dan dikaitkan sebagai salah satu petanda husnul khatimah.

Husnul khatimah ialah anugerah taufik daripada Allah SWT yang membolehkan seseorang hamba sentiasa beristiqamah melakukan ketaatan, amal soleh dan kebaikan sepanjang hayatnya dengan harapan agar dia meninggal dunia dalam keadaan yang baik.

Walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai kedudukan sanad sebahagian hadis, tokoh-tokoh seperti al-Hakim al-Tirmizi, al-Munawi, al-Yafi‘i dan Mulla Ali al-Qari menghuraikan bahawa kelebihan tersebut disebabkan daripada kemuliaan dan keagungan hari Jumaat itu sendiri.

Ia juga mencerminkan keluasan rahmat Allah SWT serta perlindungan-Nya daripada fitnah dan azab kubur. 

Justeru, para ulama secara umumnya menerima bahawa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya membawa maksud kebaikan dan menjadi petunjuk kepada pengakhiran yang baik bagi seorang mukmin, selain dianggap sebagai suatu kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT.

Ia juga merupakan bisyarah atau berita gembira daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah-Nya.

Asas perbahasan ini antaranya bersumberkan hadis riwayat al-Tirmizi daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur."

Para ulama mengaitkan kematian pada hari Jumaat dengan beberapa kelebihan tertentu. -Gambar hiasan

Berdasarkan hadis ini serta beberapa hadis lain yang membawa tema sama, para ulama berpandangan bahawa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya mempunyai beberapa kelebihan tertentu.

Antara ulama yang membincangkan perkara ini ialah Imam al-Suyuti. 

Dalam Tuhfah al-Ahwazi, Imam al-Mubarakfuri menukilkan pandangan al-Hakim al-Tirmizi yang menyatakan bahawa hikmah meninggal pada hari Jumaat adalah kerana pada hari tersebut tersingkap kedudukan seseorang di sisi Allah SWT, pintu-pintu neraka ditutup dan kekuasaannya tidak berfungsi sebagaimana hari-hari lain.

Maka sesiapa yang diwafatkan pada hari Jumaat, ia menjadi petunjuk kepada kebahagiaan serta kesudahan yang baik baginya dan Allah SWT melindunginya daripada fitnah kubur kerana fitnah tersebut bertujuan membezakan antara orang munafik dan orang beriman.

Perkara sama turut disebut oleh al-Munawi dalam Faid al-Qadir. 

Imam al-Suyuti dalam al-Lum’ah fi Khasa’is al-Jum’ah pula menukilkan pandangan Imam al-Yafi‘i bahawa mereka yang meninggal dunia pada malam Jumaat tidak dikenakan azab sebagai bentuk penghormatan terhadap waktu yang mulia itu.

Syeikh Mulla Ali al-Qari turut menyebut bahawa sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat memperoleh ganjaran seperti seorang syahid, dan hadis-hadis berkaitan tema ini menafikan fitnah serta azab kubur.

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan para ulama dan perbahasan hadis-hadis berkaitan, meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya dianggap mempunyai kelebihan tertentu serta menjadi salah satu tanda husnul khatimah.

Walaupun terdapat perselisihan mengenai status sanad sebahagian hadis, para ulama seperti al-Hakim al-Tirmizi, al-Munawi, al-Yafi‘i dan Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa hikmah kelebihan ini berkait rapat dengan kemuliaan hari Jumaat itu sendiri.

Selain itu, ia menjadi lambang limpahan rahmat serta perlindungan Allah SWT daripada fitnah dan azab kubur sebagai satu bentuk kurniaan (satu bentuk anugerah dan rahmat) kepada hamba-Nya yang beriman.

Artikel Lain