APABILA barisan hadapan sudah penuh, sering timbul kekeliruan dalam kalangan jemaah yang baru tiba tentang di manakah saf baharu sepatutnya dimulakan, sama ada dari sebelah kiri atau kanan.
Bagi merungkai persoalan itu, pihak Masjid Bandar Seri Putra, Hulu Langat, Selangor tampil membuat penerangan di akaun TikTok rasmi mereka, masjidbspofficial [Tonton Video].
Katanya, apabila saf di hadapan sudah penuh, barisan baharu tidak seharusnya dimulakan secara rawak atau hanya memilih bahagian kanan.
Sebaliknya, jemaah disarankan memulakan saf dari bahagian tengah, iaitu tepat dan sejajar dengan kedudukan imam di hadapan.
Saf tersebut kemudiannya akan dilengkapkan secara seimbang oleh jemaah yang hadir selepas itu di bahagian kanan dan kiri.
Kaedah ini bertujuan memastikan saf kelihatan lebih teratur serta membantu memelihara susunan jemaah agar lebih kemas dan tersusun.
Kedudukan paling afdal dalam saf
Sebelum ini, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa pandangan ulama berkaitan kedudukan paling afdal dalam saf.
Menurut Azhar, pandangan pertama menyatakan kedudukan paling utama ialah di sebelah kanan, iaitu di belakang imam.
Pandangan kedua pula meletakkan kedudukan paling afdal betul-betul di belakang imam, manakala jemaah yang hadir seterusnya mengisi bahagian kanan.
Sementara pandangan ketiga pula menyarankan agar ruang saf dipenuhi secara seimbang di bahagian kiri dan kanan.
Ketiga-tiga pandangan ini merupakan hasil ijtihad para fuqaha yang menitikberatkan keutamaan bahagian kanan, selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang memulakan sesuatu perkara dari bahagian kanan.
Penjelasan ini sekali gus memberi panduan yang jelas agar susunan saf dapat dijaga dengan lebih teratur, selaras dengan adab dan keutamaan dalam solat berjemaah.


