suria

Mulanya keputusan negatif... Selepas hilang deria rasa, baru sah ibu dijangkiti Covid-19 – “Mak langsung tak bau minyak atar yang kuat tu”

Ibu Amir menjalani ujian saringan (kiri) selepas tidak mempunyai deria bau termasuk minyak atar (kanan). gambar hiasan / AZHAR MAHFOF/The Star

SEPERTI yang sering diperkatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian Covid-19, virus itu sudah berada dalam komuniti kita.

Tanpa disedari, seseorang itu mungkin terdedah kepada jangkitan virus ini.

Begitulah yang dilalui oleh seorang anak apabila ibu kesayangan dijangkiti Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilu, 16 sekeluarga positif Covid-19... Rantai emas hadiah hari lahir tinggal kenangan, mak cakap cantik je - "Macam-macam orang kata kat kami"

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 bukan setakat demam! Ibu muda sarat hamil terpaksa 'ditidurkan' selepas diserang sesak nafas, hanya dapat jumpa bayi selepas 2 bulan dirawat di ICU

"Pada masa ini, virus sudah berada dalam kalangan kita. Sesiapa sahaja boleh positif Covid-19," tulis seorang pemuda menerusi ciapan di laman Twitter sehingga menjadi tular.



Perkongsian Amir (bukan nama sebenar) sehingga menjadi tular.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Amir (bukan nama sebenar) berkata, ibunya yang berusia 50an disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Anak muda berusia 20an itu memberitahu, ibunya menjalani ujian saringan Covid-19 selepas mengalami beberapa gejala seperti demam, penat dan sakit tekak.

"Susulan keputusan positif Covid-19, mak saya dibawa dengan menaiki ambulans ke Maeps (Taman Ekspo Pertanian Malaysia) untuk menjalani rawatan," katanya ketika dihubungi yang merujuk kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang, Selangor itu.

Berkongsi pengalaman, Amir berkata, ibunya turut mengalami hilang deria rasa dan bau sebelum disahkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, katanya, pada awalnya ujian Rapid Test Kit (RTK) yang dibuat ibunya menunjukkan keputusan negatif sebelum disahkan positif selepas melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).



Petugas kesihatan mengambil pesakit Covid-19 untuk dibawa menjalani rawatan. gambar hiasan / foto AZMAN GHANI/The Star

"Mula-mula mak mengalami demam, kejap elok dan kejap tak okay selama beberapa hari. Bila buat ujian RTK keputusan mak adalah negatif.

"Tapi mak kemudian hilang deria rasa dan bau. Paling ketara, mak langsung tak bau minyak atar, minyak wangi yang baunya cukup kuat yang kebiasaannya dipakai oleh orang Arab. Kat rumah ni, ayah yang selalu pakai minyak atar

"Bayangkan kalau minyak atar tu kalau imam pakai kat atas mimbar di masjid... makmum yang baru datang masa tahiyat akhir ketika solat berjemaah pun boleh bau. Tapi mak memang tak bau," ujarnya yang menetap di Selangor.

Bayangkan kalau minyak atar tu kalau imam pakai kat atas mimbar di masjid... makmum yang baru datang masa tahiyat akhir ketika solat berjemaah pun boleh bau. Tapi mak memang tak bau

AMIR

Sehubungan itu, Amir menasihatkan semua pihak yang mengalami gejala terutama mereka dalam kalangan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 agar segera membuat ujian saringan.

Jelas Amir, ibunya bagaimanapun bukanlah kontak rapat kepada individu yang dijangkiti virus itu tetapi dipercayai kes jangkitan dalam komuniti atau kes sporadik.



Amir kini menjalani kuarantin di rumah.

"Demam, sakit tekak, sakit kepalanya semuanya simptom. Jangan takut untuk buat ujian, adalah lebih baik kita tahu apakah status kita sekiranya ada gejala atau kontak rapat daripada nanti memberi kesan kepada ahli keluarga kita.

"Walaupun keputusan positif, janganlah maki hamun atau nak salahkan mereka (pesakit Covid-19) yang memang dah cukup sedih.

"Faham anda terkejut, risau terjangkit tapi orang yang positif Covid-19 ni tak minta pun terkena, apatah lagi nak jangkitkan kepada orang. Adalah lebih baik kita memberi sokongan antara satu sama lain," tambahnya.

Susulan menjadi kontak rapat, Amir memaklumkan telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

"Saya kini menjalani kuarantin seperti yang disarankan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Saya mohon kepada semua mendoakan agar mak saya diberikan kesihatan yang baik dan segera sembuh," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain