Mohd Shuhaily sebelum ini terpalit kontroversi selepas didakwa mencederakan dua anggota polis di KLIA sehingga berdepan pertuduhan di mahkamah.
KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bakal kembali berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berdasarkan satu notis yang dilihat The Star.Mohd Shuhaily yang berpangkat Komisioner Polis dijangka ditempatkan di sekretariat Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail dengan mengendalikan Urus Setia Ketua Polis Negara (Perancangan Strategik/Perhubungan Antarabangsa) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Perkara itu dipercayai berkuat kuasa pada 24 November lalu.Terdahulu, pada 21 Oktober, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25.Susulan pertuduhan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian memutuskan untuk menamatkan peminjaman perkhidmatan Mohd Shuhaily ke AKPS.Bagaimanapun, Mohd Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.Pada 14 November lalu, Khalid berkata pihaknya masih belum menerima sebarang arahan supaya Mohd Shuhaily kembali berkhidmat dalam pasukan polis.Beliau turut menjelaskan bahawa Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi kontrak selama dua tahun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.Untuk rekod, Mohd Shuhaily yang sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mula dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu. Pihak berkaitan juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu. -The Star