suria

“Mula-mula kenal, tak sangka dia doktor” - Luah hasrat mahu berbakti kepada ibu, Ustaz Rafie imbau detik 2 tahun lalu ketika bertemu Dr Ali

Ustaz Rafie menyifatkan pemergian Dr Ali sebagai satu kehilangan besar dalam masyarakat.

PENGERUSI Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid menzahirkan rasa sedih atas pemergian seorang ahlinya yang juga petugas barisan hadapan pada Isnin lalu.

Mesra disapa Rafie, dia menyifatkan pemergian Dr Ali Noor Hassan sebagai satu kehilangan besar buat SPJM dan masyarakat.

"Ia satu kehilangan besar sebab Dr Ali merupakan seorang petugas barisan hadapan. Dia seorang yang merendah diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu penat hadapi beban kerja Covid-19, Dr Ali akhirnya ‘melalui rehat yang panjang’ - “Sungguh mulia jasamu”

ARTIKEL BERKAITAN:Hormati keluarga, jangan buat spekulasi... Dr Ali meninggal bukan sebab terlampau penat - Dr Noor Hisham

"Masa mula-mula kenal, tak sangka dia seorang doktor. Saya sangat kagum, lepas dia meninggal... satu persatu cerita kebaikan dia diceritakan," ujarnya kepada mStar.

Menurut Rafie, biarpun hanya pernah bersemuka sekali sahaja pada 2018, dia sentiasa mengambil tahu perkembangan kehidupan Allahyarham menerusi Facebook.

"Sepanjang hayat, saya pernah bertemu sekali, semasa dia ikuti kursus pengurusan jenazah di Sentul (Kuala Lumpur) dua tahun lepas.

"Dalam kursus tu, dia maklumkan mahu belajar sebab mak dia tengah tenat sakit kanser. Dia nak berkhidmat untuk mak dia. Sebab tu dia datang belajar.

"Saya juga berkawan dengannya di Facebook. Selalu nampak perkembangannya. Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak," ujarnya lagi.

Allahyarham bersama keluarganya.

Dalam pada itu, Rafie turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham dan mendoakan petugas barisan hadapan yang lain terus cekal dalam berkhidmat.

Nukilan isteri Allahyarham di Facebook

Sementara itu, isteri kepada Dr Ali Noor Hassan, Asilah Alqarny tampil memberi penjelasan di Facebook selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai kematian suaminya pada Isnin malam.

Menurut wanita itu, dia menyanggah segala laporan tidak tepat mengenai kematian Dr Ali yang tersebar di media sosial.

"Beribu ribu orang share dan doakan dia. Alhamdulillah. Cuma maklumat kurang tepat sebab kematian.

"Dia meninggal di Hospital Kuala Lumpur kerana Acute Respiratory Distress bukan sebab Covid-19 atau kepenatan bertugas melawan Covid-19.

Ujarnya, dia turut menerima ribuan permintaan untuk menjadi rakan di Facebook selepas kisah suaminya tular.

Netizen turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian itu.

Dalam nukilan sama, Asilah turut bercerita mengenai peribadi suaminya yang banyak berbakti kepada orang tua.

"Semasa ibunya masih ada, banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu. Setiap kali beli lauk untuk famili mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia.

"Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia.

"Sehingga mak dia disahkan menghidap kanser paru-paru pada Ogos 2018 sanggup ambik cuti separuh gaji untuk jaga emak dia.

"Sehingga ke akhir hayat mak dia di Institut Kanser Negara (IKN), dia antara yang ajarkan mak kalimah syahadah," luah Asilah lagi.

Selain itu, Dr Ali juga disifatkan seorang yang tidak berkira dengan rakan-rakan serta saudara mara.

"Dia antara yang suka ziarah sahabat, saudara sakit. Ramai yang mesej, Dr Ali antara orang yang pertama melawat apabila kawan-kawan tak sihat.

Foto Allahyarham yang tular di media sosial.

"Beliau jugak banyak bersedekah. Setiap hari walau sedikit," ujarnya.

"Damailah disana wahai suamiku," tulis Asilah mengakhiri posting itu.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut tampil menafikan segala khabar angin yang timbul.

Dr Noor Hisham meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai kematian Dr Ali Noor dan menghormati ahli keluarganya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain