suria

Covid-19 bukan setakat demam! Ibu muda sarat hamil terpaksa ‘ditidurkan’ selepas diserang sesak nafas, hanya dapat jumpa bayi selepas 2 bulan dirawat di ICU

Seorang wanita hamil 35 minggu yang disahkan positif Covid-19, ditempatkan di dalam ICU kerana keadaannya yang kritikal.

JIKA disoroti di laman sosial, agak kerap kita melihat perkongsian mengenai pesakit yang dijangkiti virus Covid-19.

Sama ada ia kisah yang diceritakan oleh pesakit itu sendiri ataupun para doktor, namun apa yang pasti perkongsian berkenaan sudah cukup untuk membuatkan mereka yang membacanya automatik berasa takut dan seolah-olah dapat merasai penderitaan akibat dijangkiti virus berkenaan.

Terbaharu, perkongsian seorang doktor di Facebook Viral Media Johor mengenai kisah pesakitnya yang merupakan bakal ibu berusia 20 tahun, benar-benar membuka mata netizen mengenai bahaya Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengok pesakit lain menggelupur, meninggal depan mata... wanita dapat bayangkan jenazah sendiri diurus sebelum dibawa ke ICU - “Covid-19 is real, saya dah habis jaga”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri degil enggan buat swab test kini nazak positif Covid-19! Doktor tak pasti pengakhiran mereka - “Saya harap pasangan ni didatangi malaikat ketika koma”

"X-ray paru-paru dan dada salah seorang pesakit kami di ICU Covid-19. Pesakit merupakan seorang bakal ibu berumur 20 tahun lebih yang sedang mengandung anak pertama.

"Dia merupakan seorang wanita yang sihat tanpa sebarang penyakit. Usia kandungan lebih kurang 35 minggu. Pesakit bekerja di sebuah pejabat dan tiada kontak dengan mana-mana pesakit Covid-19.

"Pada suatu malam yang dingin, pesakit tersebut datang ke sebuah hospital di Lembah Klang dengan gejala demam, batuk, sesak nafas dan kurang oksigen dalam darah.

"Pesakit kemudian segera dimasukkan ke ICU untuk rawatan lanjut dan ujian Covid-19 didapati positif," tulis doktor berkenaan.

Menurut doktor berkenaan, keadaan ibu muda itu makin melarat dan menjadi semakin kritikal, dengan mengalami kesesakan nafas yang teruk serta kadar oksigen dalam darahnya makin berkurang.



Perkongsian seorang doktor mengenai kisah seorang ibu hamil yang disahkan positif Covid-19.

Situasi tersebut memaksa pasukan perubatan termasuk pakar perbidanan, pakar penyakit berjangkit dan pakar ICU untuk membincangkan rawatan terbaik untuk menyelamatkan nyawa ibu muda berkenaan berserta bayinya.

"Keadaan pesakit diberitahu kepada pesakit tersebut dan suaminya. Pesakit tersebut faham bahawa keadaan dia yang tenat. Pesakit berdoa dan berzikir supaya dipermudahkan, sebelum pesakit tersebut diberi ubat bius untuk ditidurkan (anaesthetise).

"Kemudian tiub pernafasan (intubation) dimasukkan dan dia bernafas menggunakan mesin bantuan pernafasan (ventilator) memandangkan oksigen dalam darahnya terlampau rendah.

"Kemudian pesakit tersebut telah dibedah Caeserean Section untuk mengeluarkan bayinya supaya bayi tersebut selamat dan supaya pesakit menjadi lebih stabil," demikian menurut doktor berkenaan.

Tambahnya, selepas pembedahan Caeserean Section, pesakit kembali dimasukkan ke wad ICU dalam keadaan yang pesakit masih ditidurkan (sedated) dan bernafas menggunakan mesin bantuan pernafasan (ventilator).



Pesakit berkenaan hanya dapat menatap wajah bayinya selepas dua bulan dirawat di ICU. Gambar hiasan

Malah ujarnya, pesakit juga diletakkan dalam posisi meniarap (prone position) untuk membantu paru-parunya dan menaikkan kadar oksigeb dalam darahnya.

"Sepanjang tempoh rawatan di ICU, pesakit telah beberapa kali ditiarapkan dan dimasukkan tiub pernafasan untuk menggunakan mesin bantuan pernafasan. Sepanjang di ICU Covid, tiada pelawat dan ahli keluarga dibenarkan melawat.

"Akhirnya setelah lebih kurang dua bulan pesakit tinggal dan dirawat di ICU serta menjalani rawatan fisioterapi untuk menguatkan paru-paru dan otot kaki tangan, pesakit telah discaj dan pulang ke rumah untuk bertemu anak pertamanya dan suaminya. Syukur Ahamdulillah.

"Moralnya, Covid-19 bukan sekadar demam biasa. Tak semua pesakit sihat atau gejala ringan sahaja. Ada yang hampir meninggal, ada yang meninggal. Tak kira tua atau muda," demikian menurut doktor itu lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 1,900 shares selain dihujani ribuan komen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Dulu pengemis, kini bertanding ratu cantik