suria

Suami isteri degil enggan buat swab test kini nazak positif Covid-19! Doktor tak pasti pengakhiran mereka - “Saya harap pasangan ni didatangi malaikat ketika koma”

Seorang doktor berkongsi kisah sepasang suami isteri yang enggan mempercayai wujudnya Covid-19, sehinggalah mereka dimasukkan ke hospital ekoran keadaan kesihatan semakin teruk. Gambar hiasaan

MEMASUKI minggu kedua tahun 2021 dan hampir genap setahun sejak negara pertama kali mencatatkan kes Covid-19, jumlah kumulatif kes positif virus berkenaan telah melebihi 135,000 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula mencecah 30,000 kes.

Dalam pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja keras untuk merawat pesakit Covid-19 yang tidak putus-putus hadir ke fasiliti kesihatan, namun wujud pula segelintir golongan yang percaya bahawa virus tersebut hanya konspirasi.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang doktor berkongsi kisah membabitkan pesakit yang begitu degil dan bermati-matian enggan mengaku dirinya dijangkiti virus Covid-19 walaupun telah menunjukkan simptom yang ketara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Anda beri ‘peluru hidup’ untuk frontliners ditembak” - Doktor gambarkan hospital dah macam medan perang ‘hasil sumbangan’ orang ramai

ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

Menurut Dr Malar Santhi Santherasegapan, pesakit wanita berkenaan hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan selepas tiga hari merasai perbezaan pada badannya.

"Hari ketiga tak sihat, dia pergi ke klinik GP, diperiksa oleh doktor, dan disarankan buat Covid test. Dia tak nak sebab suami dia tak percaya Covid ni.. Saja je doktor nak kaut untung, sebab tu suruh test, kata suaminya.

"Dia tak ada kontak rapat maka tak boleh dipaksa buat Covid test, jadi discharge la dengan ubat. Hari keenam tak sihat, sama sahaja ceritanya. Tak demam, tak ada simptom lain, tak sedap badan saja.

"Kali ni setelah diperiksa, doktor dengar bunyi tak best dalam paru-paru. Maka buatlah x-ray dada. Dah nampak 'pneumonia' ala-ala jangkitan Covid-19. Sekali lagi dia dinasihatkan dan dipujuk untuk buat swab test. Masih tak nak. Suaminya pasti itu bukan Covid-19... ye la, Covid-19 ni konspirasi je," kongsi doktor berkenaan.



Sikap sepasang suami isteri yang enggan membuat ujian calitan, benar-benar membingungkan doktor ini. Gambar hiasan

Masih berdegil, pesakit berkenaan enggan melakukan ujian calitan sehinggalah keadaan kesihatannya bertambah teruk apabila memasuki hari kesembilan.

"Hari kesembilan tak sihat, ke hospital juga akhirnya. Nafasnya nampak laju sikit, nampak letih dan mengah. Si suami nampak agak risau. Oksigen dalam 94 hingga 95 peratus je. Buat x-ray sekali lagi. Tu dia... Full blown Covid-19 pneumonia, memang dah tak lain tak bukan!

"Kali ni baru setuju untuk dibuat swab test. Suami sempat sergah 'Korang saja buat swab sebab nak charge mahal-mahal kan?'. Swab test RT PCR Covid-19 positif! Doktor tak terkejut pun," tulisnya.

Saya harap pasangan ni didatangi malaikat ketika dalam koma dan diberi hidayah untuk menerima hakikat pandemik Covid-19.

DR MALAR SANTHI SANTHERASEGAPAN

DOKTOR

Namun menurut Dr Malar, apa yang lebih membuatkan doktor terkejut adalah pengakuan jujur pesakit berkenaan, sebaik sahaja disahkan positif Covid-19.

"Barulah nak mengaku rupanya demam dah 10 hari, cirit birit 10 hingga 15 kali sehari sebab ambil vitamin C bergelen-gelen. Patutlah ujian darah buah pinggang tunjuk semua nombor tinggi menggunung.

"Setelah dirujuk ke hospital Covid-19 negeri berkenaan, pesakit ni masih nazak, masih bertarung nyawa. Suami pun dah positif dan diberi bantuan pernafasan, koma juga. Memang tipu je kan?



Kedua-dua pesakit berkenaan akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital kerana keadaan semakin teruk. Gambar hiasan

"Saya harap pasangan ni didatangi malaikat ketika dalam koma dan diberi hidayah untuk menerima hakikat pandemik Covid-19. Semoga mereka boleh beri kesedaran kepada orang lain setelah sembuh nanti," tulis doktor berkenaan.

Sehingga kini perkongsiannya meraih 7,900 shares di Facebook selain dibanjiri ribuan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain