suria

Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

Dr Atfina Ibrahim (gambar kecil) berkongsi pengalaman bertugas di Hospital Semporna, iaitu salah satu daerah yang berisiko di Sabah. Foto: IG Atfina Ibrahim

"HAMPIR setiap hari ada yang harus diintubasi."

Demikian kata seorang petugas frontliners yang berkongsi pengalamannya berdepan dengan situasi getir di hospital saban hari susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurut Dr Atfina Ibrahim, dia kini ditugaskan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah untuk pasukan bantuan Covid-19, pasukan pertama yang diterbangkan dari Semenanjung.

ARTIKEL BERKAITAN: Luahan kecewa frontliner hadap sampel kluster ‘selfish’, akui dah 2 bulan ‘bertapa’ di makmal - “Sangat salute dengan DG kami yang tenang”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik harungi Ramadan sebagai frontliner, ada yang sembunyi tugas dari keluarga - “Tiada istilah takut dalam diri saya”

Dua minggu ditugaskan di hospital berkenaan, Dr Atfina mengakui cabaran yang dihadapi pasukan perubatan di sana amat mencabar.

Ini berikutan penularan wabak berbahaya itu sudah merebak ke dalam komuniti daerah berkenaan, sehingga diberi gelaran #Thelittlewuhan, merujuk kepada pusat bermulanya pandemik Covid-19 di China penghujung tahun lalu.



Dr Atfina yang diterbangkan untuk pasukan bantuan Covid-19 kini bertugas di Hospital Semporna, Sabah. Foto: IG Atfina Ibrahim

"Jabatan Kecemasan menerima kes-kes kecemasan yang datang tidak kira masa. Semporna berbeza dari Semenanjung. Sangat berbeza. Kes yang datang sangat mencabar terutama pada musim pandemik Covid-19.

"Sama ada pesakit dewasa atau kanak kanak, kita tidak tahu status pesakit sehingga keputusan rapid test swab di keluarkan. Ujian swab yang paling cepat kami boleh buat di Hospital Semporna," ujarnya kepada mStar.

Kami tidak boleh tumbang. Kami harus kuat untuk menyantuni pesakit di sini. Setiap hari sebelum masuk bekerja pasti kami berdoa supaya Allah permudahkanlah urusan sepanjang kerja di sini.

DR ATFINA IBRAHIM

DOKTOR

Memandangkan risiko agak tinggi kala berdepan dengan 'musuh' yang tidak kelihatan, doktor ini berkata petugas barisan hadapan perlu bersedia dari segenap aspek fizikal dan mental.

"Seperti yang diketahui seluruh komuniti Semporna berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 #thelittleWuhan.

"Oleh itu kami harus patuh standard peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu menyelamatkan pesakit dan menjaga diri kami dari dijangkiti.

"Kami tidak boleh tumbang. Kami harus kuat untuk menyantuni pesakit di sini. Setiap hari sebelum masuk bekerja pasti kami berdoa supaya Allah permudahkanlah urusan sepanjang kerja di sini," ujarnya yang sudah 10 tahun berkecimpung sebagai pegawai perubatan.



Petugas barisan hadapan tetap cekal menyantuni pesakit. Gambar hiasan.

Malah ujarnya, dia begitu kagum dengan semangat kental frontliners yang sememangnya bertugas di hospital berkenaan.

"Pengalaman saya sebenarnya tidak setanding doktor doktor muda yang secara hakiki bertugas di sini. Mereka bertahan selama ini dengan kuantiti yang sedikit.

"Bekerja lebih 10 jam sehari merawat pesakit dalam full PPE. Bersedia dipanggil bila-bila waktu. Mereka adalah wira sebenar yang berkorban untuk Semporna. Salute untuk semua frontliners Semporna," katanya.



Rata-rata petugas barisan hadapan menyarung PPE lebih daripada 10 jam sehari. Gambar hiasan.

Dalam masa yang sama, doktor ini juga berharap agar masyarakat mempunyai kesedaran dan mempunyai sikap bertanggungjawab dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan Covid-10 dapat dibendung.

"Saya amat berharap semua pihak memainkan peranan masing masing. #kitajagakita. Ikut SOP sebagai norma baharu.

"Ingatlah kita belum menang. Bantu kami untuk berjuang bersama. Sahabat di semenanjung buatlah sehabis baik. Jaga SOP, keluar jika perlu, kerap basuh tangan atau pakai hand sanitiser. Kita belum menang!" katanya lagi



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain