suria

Bersaing di pentas AJL lagi, Dayang Nurfaizah tak pernah bosan… Puji kreativiti penyanyi baharu

Dayang anggap AJL sebagai satu pentas berprestij.

PENYANYI Dayang Nurfaizah tidak pernah berasa bosan untuk terus bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) meskipun sudah bergelar senior dan mencapai banyak kejayaan dalam industri seni.

Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 45, menyifatkan setiap peluang yang hadir adalah sebagai satu rezeki yang tidak boleh disia-siakan. 

"Tak pernah (bosan). Bagi Dayang selagi ada rezeki, selagi itu Dayang buat sehabis baik. Itu rezeki masing-masing.

"Dayang bersyukur sangat-sangat dan selagi itu Dayang akan cuba fikirkan kelainan dari segi persembahan apa yang Dayang akan buat nanti," katanya kepada mStar. 

Dayang akan buat sehabis baik pada AJL40. 

Dayang berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus tamat pusingan Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM40) di Shah Alam, Selangor pada Sabtu. 

Berkongsi mengenai rahsianya kekal relevan, Dayang berkata sebagai seorang penyanyi dia perlu sentiasa berevolusi mengikut kehendak pendengar daripada pelbagai generasi.

Jelas penyanyi itu, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal teknikal pertandingan, sebaliknya lebih fokus kepada kepuasan penonton.

"Nak kekal relevan ini susah sebenarnya. Dayang bersyukur sangat-sangat orang masih nak dengar Dayang sehingga kini. 

ARTIKEL BERKAITAN: Dayang Nurfaizah jawab gosip dah berkahwin dengan Hael Husaini, harap peminat dapat sabar

ARTIKEL BERKAITAN: Rapat sejak setahun lalu, Dayang Areeda dan Hazeeq Dean mengaku bercinta 

"Tapi bagi Dayang, yang penting kita kena fikir apa lagi orang nak dengar daripada Dayang, apa lagi yang mereka nak daripada Dayang," ujarnya. 

Bercerita mengenai kehadiran penyanyi baharu, Dayang mengakui dia banyak mengambil inspirasi dan belajar daripada keberanian serta kreativiti penyanyi generasi kini. 

Kata Dayang, kehadiran bakat-bakat muda itu memberikan satu aura positif dan semangat tambahan untuknya terus berkarya.

"Dayang sangat gembira dengan industri kita sekarang, sebab ramai yang berani bawa identiti sendiri, masing-masing dengan cara tersendiri. Dayang sendiri macam terkesima dengan kehebatan mereka. 

Dayang akui artis baharu mempunyai kualitii yang tersendiri. 

"Dengan adanya artis-artis baru yang bersemangat, itu buat Dayang rasa lebih bersemangat sekarang ni. Jadi saya kena belajar juga daripada adik-adik ni," ujarnya. 

Untuk rekod, 10 lagu yang berjaya ke pentas AJL40 ialah Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie, Aina Abdul (Kamu), Aisha Retno (Tak Adil), Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika), Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa). 

Selain itu ialah lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I turut tersenarai selain Amir Masdi menerusi (Nurcinta), Dayang Nurfaizah (Lemah), Hazama (Semacam Pandora), Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik (Ke Mana Ni).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain