Kru Artemis II merakam imej baharu bahagian belakang Bulan pada hari keempat penerbangan mengelilingi satelit itu.
MISI Artemis II yang mencuri perhatian dunia turut mencetuskan persoalan, mengapa bahagian belakang Bulan masih tidak dapat dilihat dari Bumi walaupun ia berputar.Bahagian tersebut sering digelar sebagai dark side of the moon seperti yang digambarkan dalam karya popular kumpulan muzik rock, Pink Floyd. Namun hakikatnya ia tidak sentiasa gelap kerana seperti Bumi, Bulan juga mempunyai bahagian siang dan malam yang berubah mengikut putaran.Menurut penjelasan NASA menerusi The Hill, keadaan ini berlaku kerana masa untuk Bulan mengelilingi Bumi adalah sama dengan tempoh ia berputar pada paksinya. Fenomena ini dikenali sebagai kunci pasang surut (tidal locking), iaitu keadaan apabila tarikan graviti Bumi menyebabkan putaran Bulan menjadi selari dengan orbitnya.Dalam jangka masa yang sangat lama (tempoh berjuta-juta tahun), daya graviti ini 'mengunci' putaran Bulan sehingga kelajuannya stabil.Fenomena tidal locking menyebabkan hanya satu sisi Bulan dapat dilihat dari Bumi. -Foto NasaIni menyebabkan hanya satu sisi sentiasa menghadap Bumi manakala bahagian satu lagi kekal terlindung daripada pandangan.Secara ringkas, Bulan berputar pada kelajuan sama ketika ia mengorbit Bumi, sekali gus menjadikan hanya satu sisi sahaja yang dapat dilihat dari planet ini.Bahagian belakang Bulan pertama kali dirakam pada tahun 1959 menerusi kapal angkasa Luna 3 milik Soviet.Perkembangan terbaharu menunjukkan manusia kini mampu melihat kawasan tersebut dengan lebih jelas apabila kru Artemis II merakam imej bahagian belakang Bulan ketika melakukan lintasan berhampiran.Imej dikongsikan pada hari keempat itu menunjukkan permukaan Bulan dalam keadaan terbalik dengan Kutub Selatan berada di bahagian atas, selain memperlihatkan kawasan yang jarang dilihat sebelum ini.Antara yang dapat diperhatikan ialah Orientale Basin, iaitu kawah hentaman besar yang sukar dilihat dari Bumi tetapi kini jelas kelihatan dari pelbagai sudut.Bahagian dekat Bulan (kiri) yang sentiasa kelihatan dari Bumi berbeza jelas dengan bahagian jauh (kanan) yang dipenuhi kawah.-Foto Lunar Reconnaissance OrbiterMisi ini juga memberi peluang pertama kali kepada manusia untuk melihat sebahagian kawasan tersebut secara langsung dengan mata kasar sepanjang perjalanan.Selain itu, Artemis II turut memecahkan rekod jarak penerbangan manusia apabila melepasi pencapaian yang dicatatkan oleh Apollo 13 pada April 1970.Kru misi tersebut bergerak lebih jauh dari Bumi dan dijangka melepasi rekod lama itu lebih 6,600 kilometer.Misi ini menggunakan laluan dikenali sebagai free-return trajectory, iaitu laluan tanpa pendaratan yang memanfaatkan graviti Bumi dan Bulan untuk membawa kapal angkasa kembali ke Bumi.Dilancarkan pada 1 April 2026, Artemis II merupakan misi berawak (membawa kru) selama 10 hari yang melibatkan empat angkasawan iaitu Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen.Misi ini menjadi penerbangan manusia pertama melepasi orbit rendah Bumi dalam program Artemis, selain bertujuan menguji sistem kapal angkasa Orion sebagai persediaan untuk misi seterusnya.