MASALAH air berkarat yang keluar dari paip atau mesin basuh antara punca pakaian khususnya yang berwarna cerah tidak bersih malah kotorannya sukar ditanggalkan.Namun, tular satu perkongsian di Threads mengenai satu kaedah mudah yang didakwa mampu mengurangkan kesan tersebut, iaitu dengan meletakkan tisu basah di dalam mesin basuh ketika proses mencuci. Menerusi hantaran tersebut, seorang individu berkongsi teknik berkenaan yang dipelajarinya daripada pengguna lain, dengan tujuan menapis kotoran halus atau karat sebelum terkena pada pakaian.Menurutnya, tisu basah diletakkan di bahagian dalam mesin iaitu dalam saluran air masuk. Selepas cucian selesai, tisu itu didapati mengandungi kesan kotoran dan karat yang berjaya ditapis sepanjang proses mencuci tudung serta bajunya.Tambah individu berkenaan, dia berasa lega apabila kaedah tersebut dilihat memudahkan urusan harian, terutama bagi mereka yang kerap mencuci pakaian.Perkongsian itu turut menarik perhatian pengguna lain, dengan ada yang mengakui pernah mencuba teknik sama dan mendapati ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesan kotoran, khususnya pada pakaian berwarna cerah.Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengamalkan tip tular yang tidak disokong bukti saintifik kukuh.Sebagai langkah pencegahan lebih selamat, pengguna disarankan untuk melakukan penyelenggaraan berkala seperti membersihkan penapis mesin basuh, menggunakan bahan pencuci khas, serta memastikan sistem paip rumah berada dalam keadaan baik.Dalam pada itu, terdapat juga pengguna lain yang mencadangkan pemasangan penapis air pada meter utama sebagai solusi jangka panjang bagi mengatasi masalah air berkarat.