suria

Makin ramai terjebak budaya ‘menyelam’ barangan terpakai, pandai cari boleh jimat! Tapi ini 15 item yang anda perlu elak

Tidak semua barang terpakai selamat untuk digunakan semula. -Gambar hiasan AI

TREND membeli dan mengumpul barangan terpakai semakin popular kerana harganya lebih murah, unik dan dianggap lebih mesra alam.

Namun, tidak semua barangan kelihatan elok itu selamat untuk digunakan semula kerana menyimpan risiko tersembunyi daripada segi kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Berikut 15 barangan terpakai yang perlu dielakkan berserta sebabnya berdasarkan Reader's Digest:

1. Tilam

Sangat sukar dibersihkan secara menyeluruh. 

Tilam lama boleh mengandungi hama, bakteria, kulat dan pepijat katil yang boleh menyebabkan alahan, masalah kulit serta gangguan tidur.

2. Bantal

Walaupun nampak bersih, bahagian dalamnya menyerap peluh, sel kulit mati dan habuk selama bertahun-tahun.

Ia juga berpotensi menjadi tempat pembiakan kulat dan boleh mencetuskan alahan atau asma.

3. Perabot berkusyen (sofa atau kerusi)

Kusyen fabrik dan span mudah memerangkap bakteria, kelembapan serta alergen. 

Kuman juga boleh bertahan lama pada permukaan ini, selain risiko kehadiran serangga seperti pepijat atau lipas.

4. Pemanas elektrik (heater)

Peralatan ini menggunakan arus elektrik tinggi. 

Jika pendawaian dalaman sudah rosak atau longgar, ia boleh menyebabkan litar pintas, renjatan elektrik atau kebakaran.

5. Kerusi keselamatan bayi

Berisiko rosak kerana anda tidak pasti sama ada pernah terlibat kemalangan atau tidak.

Selain itu, bahan seperti plastik boleh merosot selepas beberapa tahun, menjadikan perlindungan tidak lagi berkesan.

6. Katil bayi (crib)

Reka bentuk lama mungkin tidak mengikut piawaian keselamatan terkini. 

Jarak palang yang tidak sesuai atau struktur longgar boleh membahayakan bayi, termasuk risiko tersepit atau tercekik.

Ramai yang membeli di kedai menjual barangan terpakai untuk jimatkan perbelanjaan. -Gambar hiasan AI

7. Bekas makanan plastik

Calar dan kesan haus pada permukaan boleh menyimpan bakteria berbahaya. 

Selain itu, plastik lama berisiko melepaskan mikroplastik ke dalam makanan, terutama apabila dipanaskan.

8. Papan pemotong

Permukaan yang telah banyak kesan potongan akan mempunyai rekahan halus yang menyimpan kuman.

Ini meningkatkan risiko pencemaran silang daripada makanan mentah ke makanan lain.

9. Mainan lembut (soft toys)

Diperbuat daripada bahan berliang yang mudah mengumpul habuk, hama dan spora kulat.

Walaupun boleh dicuci, ramai tidak membersihkannya dengan betul sebelum dijual semula.

10. Karpet

Bertindak seperti penapis yang memerangkap habuk, bulu haiwan, alergen dan kulat jauh ke dalam gentian. 

Tanpa pembersihan profesional, sukar untuk memastikan ia benar-benar bersih.

Penyaman udara tingkap mudah berkulat serta menyebabkan peningkatan bil elektrik. -Foto Getty Images

11. Penyaman udara tingkap

Komponen dalaman seperti wayar dan penebat boleh rosak akibat penggunaan lama.

Selain isu elektrik, unit lama juga kurang cekap tenaga, mudah berkulat serta mempunyai penutup getah yang sudah haus hingga menjejaskan prestasi dan meningkatkan bil elektrik.

12. Palam sambungan (extension plug)

Mempunyai jangka hayat terhad. 

Jika pernah menyerap lonjakan elektrik, fungsinya mungkin sudah tidak berkesan walaupun masih boleh digunakan, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan atau kebakaran.

13. Lampu lama (vintage lamp)

Pendawaian lama, terutama jenis bersalut kain, mudah reput dan terdedah. 

Ini boleh menyebabkan percikan api, renjatan elektrik atau kebakaran jika terus digunakan tanpa pemeriksaan.

14. Peralatan dapur elektrik kecil

Seperti pengisar atau pembakar roti, wayar dalaman mungkin sudah haus atau rosak. 

Ini boleh menyebabkan renjatan elektrik atau kerosakan ketika digunakan.

15. Pinggan atau periuk lama bersalut tidak diketahui

Sesetengah peralatan lama mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum pada lapisan salutan. 

Jika lapisan ini rosak, bahan toksik boleh meresap ke dalam makanan.

Sebagai kesimpulan, barangan terpakai memang boleh menjimatkan, tetapi jangan kompromi soal keselamatan.

Jika melibatkan kesihatan, makanan, elektrik atau bayi, lebih baik pilih barangan baharu bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini.

Artikel Lain