suria

Nampak biasa tapi penting... Baru tahu ini sebabnya papan kekunci mesin ATM guna bahan logam

Kebanyakan mesin ATM menggunakan papan kekunci jenis logam. -Foto Pixabay/Mrganso

DALAM kehidupan seharian, banyak kemudahan yang kita gunakan direka dengan ciri keselamatan tersendiri tanpa kita sedari. 

Walaupun nampak biasa, setiap komponen sebenarnya mempunyai fungsi penting bagi melindungi pengguna, salah satunya mesin ATM.

Pernah tak anda perasan, kebanyakan mesin ATM menggunakan papan kekunci jenis logam, bukannya plastik seperti telefon atau alat kawalan jauh?

Rupa-rupanya, ada sebab penting di sebalik pemilihan bahan tersebut.

Menurut satu perkongsian dibuat Direct Industry, penggunaan bahan logam seperti keluli tahan karat (stainless steel) bukan sekadar untuk ketahanan, tetapi juga berkait rapat dengan aspek keselamatan pengguna.

Antara kelebihan utama papan kekunci logam adalah keupayaannya menyebarkan haba dengan sangat cepat. 

Apabila seseorang menekan nombor PIN menggunakan jari, haba daripada sentuhan itu akan berubah dengan pantas pada permukaan logam.

Berbeza dengan papan kekunci biasa, perubahan suhu pada permukaan plastik boleh dikesan lebih lama. 

Malah, jika seseorang menggunakan kamera pengesan haba (thermal sensor), susunan nombor yang ditekan berpotensi dikenal pasti berdasarkan kesan haba tersebut.

Namun, bagi papan kekunci logam, haba yang terhasil cepat hilang dan sukar dikesan. 

Ini menjadikan cubaan untuk 'mengintip' PIN melalui teknik pengimejan haba jauh lebih sukar dilakukan.

Secara ringkasnya, penggunaan logam membantu melindungi maklumat sensitif seperti nombor PIN daripada dikesan melalui kesan haba jari.

Jelaslah, setiap perincian kecil dalam kehidupan seharian sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri, termasuk papan kekunci ATM yang sering kita gunakan tanpa berfikir panjang.

Artikel Lain