suria

Tolak pelawaan lauk ‘free’, duit dihulur ambil pula! Guru terkejut acik cleaner lebih sibuk fikir ‘hal sampah’ orang lain, tak hirau susah sendiri

Seorang wanita yang bekerja sebagai pekerja pembersihan mendapat perhatian seorang guru. -Gambar hiasan/foto Twitter

DALAM kehidupan, kita pasti ada masanya kita diuji dengan kesusahan, tetapi sebenarnya ada ramai lagi yang lebih susah daripada kita.

Begitu juga dengan nikmat kesenangan, yang mana ada yang berhati mulia berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan.

Namun, satu kisah mengenai seorang wanita benar-benar menyentuh perasaan seorang guru.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak suruh belanja 2 makcik cleaner makan, anak turutkan saja tanpa banyak bunyi... tak lama kemudian datang rezeki tak pernah dijangka

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, 'pinjam' kain pelikat terselit RM50 - "Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus"

Semuanya bermula dengan pertemuannya dengan seorang wanita yang merupakan pekerja pembersihan di sekolah.

"Masa kat kantin ada pekerja pembersihan tengah bungkus makanan. Kebetulan ada rezeki sikit, saya kata kat makcik kantin saya tolong bayarkan makanan acik cleaner tu.

"Kasihan juga saya tengok dia makan nasi goreng kosong. Saya kata kat dia, tambahlah lauk ayam ke, ikan ke, cikgu bayarkan," tulis guru berkenaan di halaman Facebook Muhammad Yusof.



Nasi goreng kosong yang dibeli oleh seorang makcik. -Gambar hiasan/ foto cookpad.com/aisha ridwan

Tidak hanya sekadar nasi goreng kosong, pekerja pembersihan itu turut ditawarkan untuk mengambil mana-mana lauk sebagai pelengkap hidangannya.

"Yelah, saya kalau makan kat kantin mesti makanan saya cukup kombinasi ni, nasi campur ayam campur sayur atau nasi campur ikan campur sayur.

"Tapi itulah acik tu kata Tak apa cikgu, ini pun dah sedap dah ni. Nasi goreng kosong je dia makan," katanya.

Dalam susah-susah dia, sempat lagi dia terfikir nak mudahkan urusan orang lain.

MUHAMMAD YUSOF

Ditakdirkan, Muhammad Yusof bertemu sekali lagi dengan pekerja pembersihan itu dan kali ini sewaktu wanita berkenan sedang bertugas di kawasan perumahannya.

Hatinya juga tergerak untuk membantu wanita tersebut dengan memberi sedikit sumbangan atas tugasnya kepada masyarakat.

"Bila dia lalu depan rumah saya nak angkat sampah, saya ada hulur sikit duit sebab tolong angkat sampah kat rumah saya," katanya.

Walaupun pada mulanya wanita itu seboleh-bolehnya mahu menolak pemberiannya, namun dia kemudian akur menerima sumbangan tersebut.



Perkongsian seorang guru di laman sosial.

Bagaimanapun, reaksi pekerja pembersihan itu sebaik menerima sumbangan sememangnya di luar jangkaan.

"Bila dia ambil, jawapan dia terus buat saya rasa sangat-sangat terharu. Terima kasih cikgu, boleh juga saya beli plastik sampah nak bersihkan dorm budak-budak asrama.

"Kasihan juga kadang-kadang mereka kena marah dengan cikgu sebab sampah banyak, kadang-kadang plastik tak cukup," ujar Muhammad Yusof memetik kata-kata makcik itu.

Tindakan wanita itu membuatkan guru tersebut berfikir jauh mengenai keperibadian seseorang di sebalik kesusahan mereka.

"Saya terfikir, dalam susah-susah dia, sempat lagi dia terfikir nak mudahkan urusan orang lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain