suria

“Dia ajak kawan-kawan tapi semua malas” - Dari plan ‘night run’ tak jadi, tunggu di garisan penamat... akhirnya ke jenjang pelamin

Dari minat berlari bersama sehingga ke jenjang pelamin buat Nur Fatin dan Amir Iqbal. Foto ihsan Nur Fatin Atheera Hamdan

KATA-kata 'kalau dah jodoh tak ke mana' amat sesuai buat individu yang sedang mencari pasangan sehidup semati.

Bagi pasangan ini, tiada siapa dapat menduga hubungan mereka bermula dari rancangan untuk mengadakan aktiviti larian malam secara berkumpulan yang tidak menjadi.

"Saya bertanya kepada sekumpulan rakan sekiranya mereka mahu menyertai saya untuk larian malam (night run) di TTDI (Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur). Malangnya hanya seorang yang muncul, dan kami telah berkahwin selama lapan bulan hari ini," tulis seorang pemuda di laman Twitter @AmirTajjudin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tweet merapu jurutera putus cinta nak masak Oreo tarik perhatian si dia... sudahnya romantik, 'gila-gila' satukan 2 rakan sekolej - "Dulu tak pernah cakap pun"

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tahun hanya mesej di Twitter, nak jumpa punyalah susah sehingga episod drama air mata - "Tak kisahlah siapa ambil langkah pertama"

Isteri kepada pemuda berkenaan, Nur Fatin Atheera Hamdan berkata, insiden berlaku pada 2018 sebelum dia mengenali rapat suaminya, Amir Iqbal Ahmad Tajjudin, 34.



Perkongsian Amir Iqbal mengenai detik perkenalannya bersama isteri.

Wanita berusia 26 itu berkata, dia dan suaminya berkenalan daripada dua kumpulan rakan, masing-masing yang mengikuti aktiviti larian dan mendaki.

"Kami kenal dari kawan-kawan tapi kenal macam tu saja. Kami kemudian berhubung dalam grup WhatsApp dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.

"Hari berkenaan memang dia ada ajak kawan-kawan tapi semua malas. Jadi, hanya saya yang berminat dan kami berlari di TTDI yang turut disertai abang dia," katanya kepada mStar.



Bersama rakan-rakan aktiviti mendaki.

Walaupun telah mengetahui lebih awal mengenai rakan-rakan mereka tidak menyertai larian pada malam tersebut, tetapi Nur Fatin tetap bersemangat untuk turun padang.

"Saya sebelum itu memang sudah biasa berlari seorang diri. Sekali-sekala ada teman berlari apa salahnya. Lagipun, dapat hilangkan kebosanan saya semasa berlari.

"Kami bukan sahaja berlari untuk gaya hidup sihat, tetapi dapat juga berkongsi cerita dan pandangan antara satu sama lain," katanya yang berasal dari Rawang, Selangor.

Macam-macam alasan dia bagi sebab tak nak berlari separuh maraton 21km tanpa saya. Saya kata kalau sayangkan saya, masuk lari dan buat betul-betul.

NUR FATIN ATHEERA HAMDAN

Mengakui larian malam itu merupakan detik perkenalan mereka sehingga menjadi lebih rapat, jelasnya, aktiviti larian itu kemudian diteruskan hampir setiap hari.

Keperibadian Amir Iqbal yang matang dan sering bertolak ansur memikat hati penganalisis media sosial itu sehingga mereka mengikat tali pertunangan pada 2019.



Nur Fatin (kanan) dan Amir Iqbal (dua, kanan) bersama rakan-rakan dalam acara larian.

Mengimbas kembali antara kenangan terindah, Nur Fatin berkata, mereka sepatutnya menyertai satu acara maraton tahunan yang popular di Kuala Lumpur tahun lalu.

"Tapi disebabkan terlalu ramai yang mahu menyertainya dan ada kuota, hanya tunang yang terpilih masuk dan saya tidak bernasib baik untuk turut serta.

"Macam-macam alasan dia bagi kerana tak nak berlari dalam separuh maraton 21 kilometer tanpa saya. Saya kata kalau sayangkan saya, masuk lari dan buat betul-betul.

"Jadi, hari tu saya datang temankan dia. Saya tunggu dari garisan permulaan sehingga ke garisan penamat selepas kira-kira dua setengah jam," tambahnya.



Nur Fatin (kanan) memberi semangat kepada Amir Iqbal yang menyertai separuh maraton 21km.

Nur Fatin yang juga jurulatih kecergasan sambilan berkata, minat mereka masih diteruskan selepas bergelar suami isteri sejak Februari lalu.

"Bukan setakat berlari dan mendaki, aktiviti senaman dan workout juga kami buat bersama. Tapi ada satu misi kami nak lakukan bersama satu hari nanti, iaitu nak tawan puncak Gunung Kinabalu," ujarnya mengenai impian untuk mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain