suria

“Anda beri ‘peluru hidup’ untuk frontliners ditembak” - Doktor gambarkan hospital dah macam medan perang ‘hasil sumbangan’ orang ramai

Seorang doktor berkongsi situasi sebenar di hospital selepas kes Covid-19 semakin meningkat saban hari. Gambar hiasan

IBARAT medan perang!

Begitulah situasi di sebuah hospital sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang doktor di Facebook.

Menerusi perkongsian tersebut, Dr Alzamani Mohammad Idrose menceritakan betapa getirnya keadaan di wad hospital apabila tidak putus-putus dikunjungi pesakit Covid-19 sehingga membuatkan para petugas tidak menang tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 ahli keluarga bergelar frontliners, doktor ini tegur sikap alpa dan pentingkan diri masyarakat - “Kalian dah penat, kami dah penat... semua tak daya”

ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

Bukan sahaja kes Covid-19, mereka juga perlu mengendalikan kes-kes pesakit lain yang memerlukan perhatian khususnya penyakit yang serius.

"Bekerja semalam, katil-katil penuh dengan kes-kes berisiko Covid-19. Pasukan kami bekerja keras tanpa henti. Kes-kes pula tidak dapat masuk ke wad kerana semua katil hospital telah penuh.

"Malah kes-kes yang perlukan ventilator yang sepatutnya masuk ICU terpaksa diurus di zon kecemasan.



Kes Covid-19 yang mencatatkan peningkatan saban hari bukan saja membuatkan fasiliti kesihatan semakin sukar untuk menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai, malah petugas kesihatan juga semakin keletihan. Gambar hiasan

"Malah, semalam satu kes yang ditikam isteri selepas bergaduh, positif Covid-19. Merawat trauma satu hal, merawat Covid pula satu hal lagi.

"Yang positif dadah 'methamphetamine', yang dapat sawan, dapat strok, serangan jantung masuk ke zon rawatan yang sudah pun penuh," tulisnya.

Tambah doktor tersebut, keadaan menjadi lebih teruk apabila satu per satu rakan-rakan 'tumbang' kerana dijangkiti virus tersebut.

"Malah kes-kes berisiko di kecemasan semasa bertugas hari ini, walaupun tiada kontak dengan pesakit Covid-19, lima dari mereka positif Covid-19 apabila ujian makmal kemudiannya.

Apabila anda tidak serius mengamalkan SOP, anda memberi 'peluru hidup' kepada virus untuk frontliners ditembak.

DR ALZAMANI MOHAMMAD IDROSE

DOKTOR

"Satu-satunya penenang jiwa adalah pasukan kami yang sabar dan bantu-membantu dalam susah dan senang. Habis syif semua keletihan tetapi masih tetap senyum mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja satu syif.

"Cuma terasa tidak seronok kerana rakan-rakan yang mengambil alih syif menerima katil-katil yang penuh pada permulaan syif. Tidak suka menjadikan hari mereka sukar," ceritanya.

Dalam masa yang sama, doktor ini meluahkan rasa kesal kerana masyarakat seolah-olah masih tidak mengambil iktibar dengan situasi yang berlaku kini, walaupun kes sudah naik mencanak.

Malah yang menghairankan ujarnya, masyarakat tanpa rasa bersalah menjalani kehidupan seperti biasa seperti bukan dalam situasi pandemik, yang dengan jelas mengabaikan SOP.



Petugas kesihatan tanpa rehat perlu bergilir-gilir bukan sahaj merawat pesakit Covid-19 malah pesakit lain. Gambar hiasan

"Pulang kerja, apabila melewati kedai-kedai makan, saya melihat fenomena serupa - makan ramai-ramai pada meja kecil yang jaraknya kurang satu meter. Anda boleh berseronok tanpa sedikit pun ada etika untuk menghentikan rantaian Covid-19.

"Rakan-rakan sekerja kami bertarung dan ada yang tumbang. Kami menerima semua 'hasil sumbangan' anda setiap hari di hospital. Apabila anda tidak serius mengamalkan SOP, anda memberi 'peluru hidup' kepada virus untuk frontliners ditembak.

"Mereka yang serius pula menjadi perisai kepada kami dan sungguh kami hargai. Terima kasih atas budi baik anda. Sebenarnya hanya anda sahaja yang boleh memenangkan perang ini, bukan kami. Kami hanya menguruskannya sahaja," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain