suria

Mesin ATM 700kg dicuri guna troli gagal dibuka, penjenayah akhirnya 'buang' tepi jalan

Pihak berkuasa menjumpai mesin ATM yang ditinggal penjenayah. -Foto Express

TIGA lelaki bertopeng nekad mencuri sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) dengan mengangkutnya menggunakan troli, namun terpaksa meninggalkan mesin itu tidak jauh dari lokasi kejadian selepas ia gagal dibuka.

Menurut polis, kumpulan penjenayah itu datang lengkap dengan pemotong gas tetapi terpaksa menggunakan troli berikutan kerja-kerja pembinaan jalan yang menghalang akses kenderaan.

Sebaik memasuki kiosk ATM, mereka menyembur cat hitam pada sensor penggera bagi menghalangnya berfungsi. 

Selepas memastikan sistem keselamatan lumpuh, kumpulan itu menggunakan pemotong gas untuk mengakses bahagian yang menempatkan mesin tersebut sebelum mengangkatnya ke atas troli.

Kejadian berlaku pada pukul 3 pagi pada Selasa di Lebuhraya Nasional 48 di Belagavi, India.

Mereka menolak mesin ATM seberat 700 kilogram itu sejauh 200 meter ke lokasi kenderaan diparkir, memindahkannya ke dalam van, kemudian kembali meletakkan semula troli sebelum melarikan diri.

Mesin yang bernilai kira-kira Rs 2 lakh (RM9,200) dan mengandungi hampir Rs 1.9 lakh (RM8,740) itu bagaimanapun tidak berjaya dibuka.

Akibat gagal memecahkannya, suspek bertindak membuang mesin tersebut kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.

Polis Kakati telah membuka kertas siasatan dan sedang memburu ketiga-tiga suspek. 

Pasukan unit anjing pengesan turut dipanggil bagi menjejaki mesin tersebut, dan beberapa serpihan kayu daripada troli yang tercicir menjadi petunjuk penting sehingga membawa kepada penemuan ATM itu.-Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia