SEORANG wanita berusia 22 tahun rebah ketika sedang bekerja dan dikejarkan ke hospital lewat malam Rabu, dipercayai akibat pengambilan pil penurunan berat badan selama lebih 10 bulan.
Menurut siasatan awal, wanita berasal dari Trat, Thailand itu membeli pil berkenaan dari sebuah kedai dalam talian.
Pil tersebut disyaki mengandungi sibutramine, iaitu bahan terlarang yang telah diharamkan pihak kesihatan Thailand sejak 2009 kerana dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan serius.
Wanita berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Pasukan perubatan bertungkus lumus selama lebih dari satu jam sebelum memberikannya alat bantuan pernafasan, dan kemudian memindahkannya ke wad khas untuk pemantauan lanjut.
Teman lelaki mangsa, Phongsaphak, 20, memaklumkan bahawa wanita itu mengalami pening selama dua hari sebelum rebah di tempat kerja dan percaya insiden itu mungkin berpunca daripada pengambilan pil kurus tersebut.
Sementara itu, keluarga mangsa menggesa orang ramai supaya tidak mengambil pil diet yang tidak diluluskan, serta menasihati pengguna agar menyemak status pendaftaran dan kelulusan produk sebelum membuat pembelian. -Agensi


